Sunday, February 28, 2010

Perangi klip video lucah sebelum bangsa parah

BARU-baru ini, gara-gara gilakan koleksi klip video lucah seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Jerteh sanggup menjadi dalang berpakat membenarkan rakan untuk pecah rumah keluarga sendiri! Puncanya kerana tidak mampu melunaskan hutang membeli klip video itu yang berjumlah kira-kira RM1,000.

Lebih mengejutkan, kedua-dua pembekal klip video lucah yang berjaya pecah masuk ke rumah pelajar terbabit juga adalah pelajar perempuan. Pengsan!

Apa pun, kita harus mengakui generasi murid atau pelajar bermula bangku sekolah hari ini begitu terdedah dengan bahan lucah. Jika dahulu sumbernya hanya dari buku picisan kemudian beralih ke bentuk kaset video, DVD dan laman web tetapi terkini hanya di genggaman tangan sahaja!

Tanpa kita sedari, telefon bimbit yang dilengkapi dengan aplikasi video menjadi alat perosak anak-anak bangsa apabila mereka dari usia mentah telah 'mabuk' dengan bahan-bahan lucah!

Penangkapan seorang pengurus sistem sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka yang menyalah guna kemudahan laluan talian syarikatnya untuk menjual klip video lucah melalui SMS baru-baru ini tidak harus terhenti begitu sahaja.

Usaha mencekup 'makhluk perosak' ini mesti diteruskan lagi kerana dipercayai pasti ada lagi mereka yang ghairah ingin menjadi jutawan atas kemusnahan pemikiran, jiwa dan moral generasi muda kita!

Adakah wajar kita biarkan sekerat dua individu yang untungnya berbelas juta ringgit tetapi modal insan rakyat negara ini ruginya tidak terkira banyaknya?

Justeru, kerajaan mesti benar-benar bertegas tentang hal ini. Kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berserta jabatan atau agensi berkaitan serta pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha memerangi gejala penyebaran klip video lucah ini.

Namun, dalam masa yang sama, golongan ibu bapa mestilah mengamalkan konsep "anak didahulukan" bukannya "anak dimanjakan".

Usah manjakan anak hingga benarkan mereka yang belasan tahun pun memiliki telefon bimbit mewah atau lengkap dengan aplikasi video! Benar, anak anda itu baik dan anda yakin dia tidak akan salah guna tetapi mana tahu itu di depan, di belakang mata siapa tahu.

Oleh itu, memadai dengan telefon bimbit biasa. Tidak perlu lebih daripada itu. Jika sudah siap sedia dengan set video itu namanya hendakkan hiburan yang merosakkan bukannya kerana kemudahan perhubungan atau keperluan keselamatan.

Ini kerana pengaruh rakan atau kenalan ditambah dengan rasa ingin tahu yang normal di peringkat usia belasan tahun akan mendedahkan anak-anak kita kepada penyebaran bahan lucah dalam bentuk klip video!

Jika masih ada yang bersikap tidak apa dengan 'barah' ini dikhuatiri institusi sosial di negara kita ini kelak musnah akibat pelbagai masalah berbangkit kesan daripada ketagihan bahan pornografi dan penyebaran klip video seks. Jadi, bertindaklah segera selamatkan akal budi anak-anak 1Malaysia!

Arif Atan

Tanah Merah, Kelantan

No comments: