Sunday, February 21, 2010

Iklan ‘ubat kuat’ makin menjadi-jadi

Oleh Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my
2010/02/19

ALOR GAJAH: Lambakan pelbagai jenis poster ‘ubat kuat’ untuk lelaki di taman perumahan di sekitar bandar ini menimbulkan persoalan kerana dibimbangi boleh mempengaruhi pengguna, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko menggunakan ubat haram.
Tinjauan Metroplus mendapati pihak tertentu begitu berani mengiklankan produk ubat kuat melalui poster dan mengedar risalah secara terang-terangan dari rumah ke rumah.


Antara lokasi sasaran ditampal poster terbabit termasuk pada tiang elektrik, papan tanda jalan, telefon awam dan tembok di taman perumahan iaitu di Taman Rembia Perkasa, Taman Rembia, Kampung Rembia, Taman Pelangi dan Taman Awan Biru. Poster dan risalah itu jelas mendakwa kandungan ubat kuat itu dihasilkan daripada pati tumbuhan herba asli dan tidak memberi kesan sampingan kesihatan serta mempunyai sijil Kementerian Kesihatan.


Seorang penduduk, Mohd Iskandar Abu Hassan, 20, meragui kesahihan maklumat pada poster dan risalah mengenai ubat kuat itu.


Dia mempersoalkan jika benar produk kesihatan itu diluluskan, mengapa mereka tidak menjualnya kepada orang awam di farmasi atau klinik.


“Apa yang menjadi persoalan, ada segelintir orang mempercayai khasiat dan keberkesanan produk ubat kuat itu. “Sepatutnya mereka membuat semakan dengan pihak berkenaan untuk memastikan kesahihan produk diiklankan itu bagi mengelak tersalah membeli,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rizuan Rahmat, 24, berkata pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan membeli ubat-ubatan dan produk kesihatan memandangkan sudah banyak laporan mengenai kesan termasuk ada pengguna yang maut menggunakannya.


“Orang ramai tidak seharusnya mudah terpedaya dengan pelbagai janji manis pada iklan bagi melariskan produk seperti berkesan dalam masa yang singkat kerana ia jelas menipu pengguna,” katanya.


Metroplus cuba berkali-kali menghubungi nombor telefon pada poster ubat kuat itu, namun tiada jawapan sebelum menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan mengenai pelbagai jenis ubat yang dijual.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Nordin Ali ketika dihubungi menegaskan majlis tidak berkompromi dengan pihak yang mengiklankan ubat kuat haram dan akan mengambil tindakan tegas.


“Ini (poster ubat kuat lelaki ) sama macam poster along yang menawarkan pinjaman tidak berlesen. “Jadi saya akan arahkan anggota MPAG mengambil tindakan membersihkan semua poster ini.


“Saya juga meminta orang ramai yang melihat kegiatan pihak terbabit (memasang poster) untuk melaporkan kepada MPAG untuk tindakan.


“Kita juga akan cuba mengesan pihak terbabit melalui nombor telefon pada poster itu dan tindakan kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan (MPAG) 1999,” katanya.

No comments: