Sunday, December 06, 2009

Ubat Tenaga Batin Buat Buah Dada Lelaki Membesar

Dari Harian Metro:

KUALA LUMPUR: Awas kepada lelaki yang ghairah mengambil ubat untuk menguatkan tenaga batin kerana pakar perubatan mendedahkan ubat berkenaan boleh memberi kesan sampingan yang menghakis ciri kejantanan iaitu buah dada mereka boleh membesar seperti wanita hingga terpaksa memakai coli.

Ini kerana, banyak ubat menguatkan tenaga batin lelaki yang terdapat di pasaran sekarang sama ada jenis krim, herba atau makanan kesihatan tambahan didapati mengandungi streroid dan perangsang hormon wanita dinamakan estrogenik.

Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby , berkata steroid dan estrogenik dikenal pasti antara punca utama yang menyebabkan lelaki mengalami masalah gynecomastia atau tumbesaran buah dada. Beliau berkata, selain ubat penguat tenaga batin lelaki, steroid dan estrogenik juga menjadi ramuan utama dalam ubat penyakit gastrik dan penenang minda.

“Dan ini bermakna, lelaki yang mengambil ubat gastrik dan penenang minda tanpa kawalan atau tidak mengikut panduan doktor juga berisiko mengalami gynecomastia iaitu buah dada mereka membesar. Jika pun saiznya tidak sampai ke tahap sama besar dengan buah dada wanita, yang pasti ia lebih besar berbanding lelaki normal,” katanya.

Dr Ismail berkata, pemerhatiannya mendapati jumlah lelaki yang mengalami gynecomastia di Malaysia semakin meningkat kebelakangan ini dan sebahagian besar mereka tidak tahu ia berlaku disebabkan kesan sampingan ubat penguat tenaga batin, gastrik atau penenang minda.

Menurutnya, kebiasaannya pada peringkat awal penghidap gynecomastia tidak mengetahui atau menyedari mereka menghidap penyakit itu namun berasa ada sesuatu yang tidak kena apabila buah dada mereka berasa sakit dan ada ketulan isi di bawah puting.

“Ketulan keras menunjukkan bahawa seseorang itu menghidap barah payudara tetapi bagi gynecomastia, ketulannya lembut dan ia sakit apabila disentuh. Jika ada tanda-tanda awal ini, segeralah jalani pemeriksaan doktor,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Ismail mengakui masalah buah dada besar di kalangan lelaki turut berkait rapat dengan obesiti atau berat badan berlebihan, namun itu tidak bermakna perkara ini normal kerana nisbah secara rawak menunjukkan daripada empat lelaki obes, seorang akan menghidap gynecomastia.

“Jika lelaki obes menghidap gynecomastia, apabila mereka mengurangkan berat badan, berat badan dan saiz perut mereka mungkin berkurang tapi buah dada mereka akan meleper dan londeh,” katanya.

Selain itu, kata Dr Ismail, masalah gynecomastia juga berlaku akibat kanser alat sulit dan berkaitan baka yang boleh menyebabkan gangguan hormon testosterone. Menurutnya, disebabkan semakin ramai lelaki menghidap gynecomastia, kini sudah terdapat coli khas untuk lelaki yang berfungsi menutup buah dada mereka daripada kelihatan terbonjol hingga menimbulkan rasa tidak selesa dan memalukan.

Oleh itu, Dr Ismail berharap lelaki yang ghairah atau taksub untuk menguatkan tenaga batin supaya berfikir panjang dengan turut memikirkan kesan sampingan ubat yang mereka ambil bagi mengelakkan buah dada mereka semakin membesar. Antara cara selesainya ialah dengan pembedahan. Tetapi yang terbaiknya ialah cegah dulu sebelum terjadi.(AK)

Gynecomastia: Buah dada lelaki besar

BAGI lelaki sejati, mempunyai buah dada besar adalah perkara memalukan. Namun, jika itu berlaku disebabkan obesiti dan lemak, ia bukan sesuatu yang membimbangkan kerana hanya perlukan disiplin diet yang ketat untuk mengatasinya.

Cuma, perkara yang perlu diberi perhatian ialah buah dada membesar di kalangan lelaki akibat Gynecomastia. Ia istilah teknikal perubatan mengenai fenomena buah dada lelaki membesar.

Antara Gynecomastia paling kerap berlaku dikenali sebagai ‘Pubertal Mastitis‘ atau ketumbesaran buah dada akibat akil baligh.

Ia berlaku akibat tindak balas hormon Estrogen yang dihasilkan pundi Adrenal dan pada masa sama akibat buah zakar membesar pada peringkat awal baligh tetapi mengecut dua atau tiga tahun kemudian.

Kerap makan ayam suntik

KUALA LUMPUR: Gejala buah dada lelaki membesar seperti wanita atau gynecomastia bukan saja berpunca daripada pengambilan ubat-ubatan diragui kandungannya, malah mereka kerap makan ayam disuntik hormon juga berisiko berdepan masalah itu.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan Pakar Kesihatan Awam, Datuk Dr Maamor Othman, berkata apabila lelaki menghadapi masalah gynecomastia, mereka berisiko menghidap barah payu dara lebih dahsyat daripada wanita.

“Tuhan menjadikan fitrah wanita mengeluarkan hormon estrogen yang menyebabkan payu dara mereka membesar secara semula jadi, tetapi apabila lelaki mengambilnya terdapat risiko barah menjadi lebih ganas iaitu cepat merebak serta membawa maut.

“Perkara ini berlaku bukan saja disebabkan pengambil ubat tidak sah yang mengandungi steroid dan estrogen, malah lelaki terutama kanak-kanak yang kerap makan ayam disuntik hormon juga berisiko mengalami gynecomastia atau buah dada mereka membesar,” katanya yang dihubungi semalam.

Kebiasaannya, pada peringkat awal penghidap gynecomastia tidak mengetahui atau menyedari mereka menghidap penyakit itu, namun berasa ada tidak kena pada buah dada apabila terasa sakit dan ketulan isi di bawah puting.

Dr Maamor berkata, selain ubat tidak sah dan ayam hormon, golongan mak nyah mengambil hormon untuk melicinkan kulit juga boleh menghidap gynecomastia.

“Memang gynecomastia boleh dirawat melalui pembedahan, tetapi saya lebih suka pendekatan pencegahan daripada mengubat.

“Elak daripada mengambil ubat kuat yang tidak mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan termasuk minuman seperti kopi yang didakwa ada campuran herba untuk kekuatan seks kerana kita tidak tahu apa bahan sebenarnya dimasukkan ke dalamnya,” katanya.

Hargai isteri anda...

Oleh NUR AISHAH MOHD. AMIN

MUNGKIN kita biasa mendengar isteri mengungkit setiap benda yang dilakukan untuk memastikan kelancaran rumah tangga. Mengapa isteri mengungkit?

Dalam hal ini, tidak hairan jika sesetengah isteri mengungkit setiap benda yang dilakukan jika suaminya langsung dan buat-buat tidak nampak pengorbanan yang dilakukan isteri.

Lebih malang lagi, isteri sudah banyak berkorban sejak mula bercinta sehingga mendirikan rumah tangga dan memperoleh anak yang banyak, tetapi si suami masih tidak tahu menghargai, sebaliknya asyik menyalahkan isteri dengan menuduh isteri tidak pandai mengurus rumah tangga.

Justeru suami harus tahu di manakah punca dan bagaimana untuk mengelak isteri daripada mengungkit dalam keadaan marah. Berikut beberapa tip untuk menghargai isteri.

1. Isteri bukan pembantu rumah
Ramai suami menganggap bahawa kerja-kerja rumah adalah tanggungjawab isteri 100 peratus. Walhal dalam Islam, tidak ada hukum yang mengatakan bahawa isteri wajib melakukan kerja-kerja rumah.
Cuma, ajaran Islam mengatakan bahawa wanita berkahwin wajib taat kepada suami, menjaga harta dan maruah suami dengan baik dan mereka akan dijamin masuk syurga. Itu sahaja. Atas jaminan itulah ramai wanita tidak berkira dengan kerja-kerja rumah yang mereka lakukan selama ini.
2. Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi.
Jika suami seorang yang prihatin dan menyayangi isterinya, apalah salahnya jika dia memberikan hadiah kepada isterinya. Hadiah tidak perlu terlalu mahal.
Jika bajet anda tidak mencukupi, sekuntum bunga dan sekeping kad sudah memadai.
Hati isteri akan tersentuh dengan pemberian hadiah dan lebih terharu jika anda sempat menulis sepatah dua kata penghargaan di dalamnya seperti 'terima kasih di atas segala pengorbanan sayang selama ini.'
3. Isteri adalah manusia
Mereka ialah kaum wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka reda dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira.
Namun jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering ingin mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.
4. Ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri, jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak, membasuh dan mengemas rumah.
Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan yang anda masak. Tentu dia berasa gembira.
5. Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri adalah suatu kebebasan baginya. Apa kata anda terbalikkan situasi itu.
Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat-tempat peranginan. Walaupun ia nampak remeh, tetapi setiap isteri pasti akan menghargai saat-saat manis itu.
6. Ciuman khas
Cuba anda tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat setelah begitu penat bekerja.
Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isteri.
7. Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi oleh suami. Jika isteri berhajatkan sebuah mesin basuh ataupun mesih jahit, pihak suami mungkin terpaksa berfikir dua atau tiga kali sebelum memenuhinya.
Bagaimanapun, jika anda tidak dapat memenuhi hajat isteri dalam masa terdekat, simpanlah hajat itu dan tunaikanlah apabila anda berpeluang kelak.
8. Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas. Pujian itu penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur.
9. Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat, tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Kemudian, berbincanglah tentang hal rumah tangga dan masa depan.

Thursday, December 03, 2009

Jika pasangan curang

Dari akhbar Kosmo:

JIKA berlaku sebarang masalah dalam perhubungan seperti kehadiran orang ketiga, kesalahan sering diletakkan di atas bahu pasangan kerana sanggup menduakan anda. Sedangkan, anda sudah memberikan yang terbaik dalam perhubungan.

Ungkapan seperti 'apa salah saya', 'tidak cukupkah selama ini' dan 'apa yang kau mahu lagi,' sering dilontarkan ketika berlaku perbalahan dalam perhubungan suami isteri atau pasangan kekasih.

Namun, sedarkah anda bahawa sebahagian punca berlakunya kecurangan itu datang daripada diri anda sendiri. Kebiasaannya, pasangan pula tidak mampu untuk berterus-terang.

Hakikatnya, apabila timbul masalah seperti pasangan curang, anda tidak perlu memberontak. Sebaliknya, cuba atasi perasaan dan selesaikannya dengan cara terbaik. Tindakan mencaci dan memaki pasangan akan menambahkan lagi kekusutan perhubungan.

Minggu ini, Kosmo! memberikan beberapa tip untuk berhadapan dengan masalah pasangan yang curang.

1-Terima dengan tenang: Apabila mengetahui si dia curang, anda pasti akan berasa sedih dan mungkin melakukan perbuatan di luar kawalan. Sebaiknya, cuba selidik sama ada ia benar-benar berlaku atau hanya anda yang terlebih cemburu.

2-Cuba berbincang: Jika ia benar, cuba ajak pasangan berbincang dan tanya kenapa dia bertindak sedemikian. Jangan pula menjadi terlalu emosi sehingga memaki pasangan. Tarik nafas dalam-dalam apabila anda berasa terlalu marah.

3-Bermuhasabah diri: Anda perlu ingat musibah yang berlaku diturunkan oleh Tuhan. Ia adalah sebagai dugaan kita di muka bumi. Mungkin ia sebagai balasan terhadap sesuatu yang pernah anda lakukan dahulu atau sebagai satu cara Tuhan menguji kita.

4-Dekatkan diri kepada Tuhan: Tidak kira apa jua kepercayaan anda, dekatkan diri dengan Tuhan. Ia mampu memberikan ketenangan yang sejati. Berdoalah supaya musibah yang melanda berakhir seperti yang anda ingini.

5-Cari teman untuk berkongsi masalah: Masalah perlu dikongsi dan jangan dipendam kerana ia hanya memburukkan keadaan. Anda juga akan menjadi lebih muram serta tidak mampu melakukan tugasan harian jika terus menyembunyikan masalah yang sedang dihadapi.

6-Kenali kekurangan diri: Percaya atau tidak, anda merupakan sebahagian daripada punca kecurangan. Mungkin anda seorang yang perengus, kuat membebel, tidak hormat kepada pasangan, tidak suka memasak, pemalas atau pengotor. Kenang kembali saat pertama anda bertemu pasangan dan mengapa dia tertarik kepada anda. Mungkin tarikan itu telah hilang. Cuba lihat pada diri sendiri dan cari apa yang disukai oleh pasangan.

7-Cuba perbaiki diri: Ubah segala kekurangan diri. Jangan terlalu memaksa dan cuba buktikan bahawa anda layak untuk disayangi. Tidak salah anda berubah demi kebahagiaan keluarga.

APABILA timbul masalah seperti pasangan curang, anda tidak perlu memberontak. - Gambar hiasan

8-Tumpukan perhatian terhadap keluarga: Mungkin anda mengabaikan keluarga dan pasangan. Sebab itulah, mereka mencari kebahagiaan di luar. Luangkan masa hujung minggu dengan sebaiknya seperti melakukan aktiviti riadah atau makan malam bersama. Libatkan seluruh keluarga dalam proses tersebut.

9-Lakukan aktiviti: Apabila terlalu runsing, ramai yang memilih untuk menyendiri. Sebaiknya, sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang boleh membuatkan anda terlupa seketika masalah yang dihadapi. Bagus juga jika anda dapat meluangkan sedikit masa di pusat kecantikan atau spa untuk menghilangkan tekanan.

10-Dapatkan nasihat pakar: Jika masalah berpanjangan dan penceraian mungkin berlaku, dapatkan nasihat pakar dan ajak pasangan menghadiri sesi kaunseling. Demi kebaikan keluarga, berdamai adalah jalan terbaik untuk dilakukan.