Showing posts with label Hamil. Show all posts
Showing posts with label Hamil. Show all posts

Thursday, March 18, 2010

Minuman untuk wanita hamil


KESIHATAN ibu dan bayi dalam kandungan banyak bergantung kepada corak diet yang diamalkan.


KEHAMILAN menuntut seseorang wanita bukan sahaja menjaga kesihatan emosi dan pergerakan fizikal bahkan diet hariannya. Acap kali diet harian merujuk kepada pengambilan sajian yang bergizi seimbang seperti bijirin, kekacang, roti, sayuran dan buah-buahan.

Bagaimanapun, jarang sekali kita menekankan mengenai amalan minuman harian yang patut diamalkan oleh wanita.

Menurut Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur, Dr. Premitha Damodaran, seperti pemakanan, wanita hamil juga perlu menitikberatkan aspek pengambilan cecair yang diambil untuk tubuhnya.

Amat penting bagi wanita hamil untuk mengambil jumlah air yang cukup untuk tubuhnya kerana jika dehidrasi berlaku, tubuh mudah berasa letih selain mendapat serangan sakit kepala. Lebih teruk, mereka boleh mendapat penyakit yang dipanggil 'kencing kotor'.

Terdapat empat jenis minuman yang baik untuk diambil oleh wanita mengandung iaitu air putih, susu, jus buah-buahan dan minuman berfungsi atau isotonik.

Air putih adalah minuman yang terbaik kerana tidak mendatangkan masalah jika diambil berlebihan sehingga lapan hingga 10 gelas sehari.

Susu pula menawarkan sumber kalsium untuk perkembangan tulang manakala jus buah-buahan memberikan khasiat vitamin dan minuman berfungsi dapat menggantikan zat elektrolit yang hilang semasa berpeluh.

Bagaimanapun, tegas Premitha, wanita hamil sememangnya tidak digalakkan untuk mengambil minuman seperti kopi dan minuman berkarbonat.

SEBAIK-BAIKNYA hindarkanlah pengambilan kopi ketika sedang mengandung.


Dengan minuman berkarbonat telah menjadi satu budaya hidup masyarakat hari ini, ia sebenarnya memberi kesan buruk kepada kesihatan dan tubuh badan ibu dalam jangka masa panjang.

Katanya, kandungan gula yang tinggi iaitu sehingga tujuh hingga sembilan sudu dalam satu tin boleh menyebabkan kadar gula dalam darah wanita hamil tidak seimbang.

Kesan buruk itu bukan sahaja terdedah kepada diri sendiri bahkan ke atas bayi dalam kandungan kerana ia akan menyumbang kepada ketidakstabilan paras gula tubuh bayi.
"Banyak minuman berkarbonat mengandungi pewarna makanan tiruan, perasa tambahan dan sebagainya. Dengan kandungan gula yang tinggi, ramai wanita hamil berisiko mendapat kencing manis. Tahap risikonya berganda," ujar Premitha.

Tambahnya, seseorang wanita hamil memerlukan kadar gula yang seimbang supaya keseimbangan tersebut dapat diwarisi oleh bayinya.

KANDUNGAN gula yang berlebihan dalam satu tin minuman berkarbonat memudaratkan wanita hamil.


Jelas Premitha, kopi juga seharusnya dihindar oleh ibu hamil daripada menjadi minuman harian. Pengambilan kafein yang terlalu tinggi adalah tidak baik untuk kesihatan bayi, malah beberapa pakar mendedahkan bahawa ia mungkin boleh mendatangkan risiko keguguran sewaktu trimester pertama.

Premitha memberi senarai masalah yang boleh berlaku jika minuman berkarbonat atau kopi menjadi pilihan ibu hamil:
1. Minuman soda atau berkarbonat menyamai sekurang-kurangnya tujuh sudu gula dalam setiap tin. Ini mungkin mendorong kepada masalah berat badan yang naik mendadak, penyakit kencing manis dan beberapa komplikasi lain yang berlanjutan daripada dua penyakit tersebut.
2. Kopi dan teh mengandungi kafein. Jika sebelum ini anda penggemar kafein, elakkan pengambilan kedua-dua jenis minuman itu secara harian. Kafein yang tinggi boleh menjejaskan proses perkembangan kandungan dan menyebabkan perubahan hormon tubuh.
3. Kafein juga mengakibatkan diuresis, iaitu keadaan yang menyebabkan pundi kecing menjadi aktif. Badan boleh kehilangan air secara berlebihan akibat terlalu kerap kencing. - NUR AISHAH MOHD. AMIN

Thursday, March 04, 2010

Risiko kehamilan wanita obes

Dari Kosmo Online.


AMBIL makanan yang berkhasiat sebagai amalan hidup sihat.


BERAT badan berlebihan atau obesiti merupakan masalah paling merungsingkan golongan wanita. Kegemukan bukan sahaja menjejaskan kesihatan, malah ia juga menyebabkan seorang wanita itu hilang keyakinan diri.

Bagi wanita obes yang merancang untuk hamil pula, golongan ini cenderung untuk menghadapi beberapa risiko ketika hamil dan juga selepas bersalin.

Antara risiko itu termasuklah keguguran malah boleh membahayakan nyawa ibu dan komplikasi lain.

Malah, kajian yang dijalankan oleh Universiti Michigan di Amerika Syarikat mendapati wanita yang mengalami berat badan berlebihan mempunyai peluang hamil kira-kira 28 peratus berbanding wanita yang mempunyai berat badan normal.

Dalam pada itu, menurut Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Damai Service Hospital, Dr. Mahes Sittampalam, statistik itu turut merangkumi wanita obes yang mengandung secara normal serta yang mengandung melalui bantuan rawatan kesuburan.

Tambah Mahes lagi, akibat ketidakseimbangan hormon bagi wanita obes yang hamil, mereka juga cenderung untuk mengalami keguguran.

"Kadar morbiditi pada bayi dalam kandungan serta ibu mengandung juga meningkat akibat penyakit seperti tekanan darah tinggi yang cenderung berlaku pada wanita obes," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain itu, penyakit diabetis sewaktu hamil juga merupakan kejadian yang biasa berlaku kepada wanita obes. Penyakit itu akan meningkatkan lagi risiko kecacatan bayi dalam kandungan.

Lebih menyedihkan lagi, kajian juga mendapati 30 hingga 40 peratus bayi yang dilahirkan itu mempunyai penyakit yang melibatkan masalah organ seperti otak, jantung dan sistem penghadaman.

Terang Mahes, wanita obes turut berisiko mendapat komplikasi sewaktu pembedahan bersalin. Antaranya termasuklah risiko jangkitan kuman pada luka pembedahan dan pengumpalan darah.

"Untuk tempoh jangka panjang pula, bayi yang dilahirkan wanita obes mempunyai dua kali ganda risiko berdepan masalah berat badan berlebihan dan menghidap penyakit diabetes," ujarnya.

Rancang kehamilan

Mengenai kehamilan bagi wanita obes, Mahes menjelaskan, beberapa langkah boleh diambil untuk memastikan mereka berdepan dengan risiko yang lebih rendah.

Mahes menyarankan wanita obes supaya menurunkan berat badan terlebih dahulu.

Langkah itu perlu bagi mengelakkan komplikasi kepada ibu dan bayi dalam kandungan, malah ia membantu mengelakkan risiko semasa bersalin.

"Apabila anda bersedia untuk hamil, anda perlu terlebih dahulu merancang pemakanan yang seimbang.

"Anda perlu mengambil makanan yang banyak mengandungi kekacang, sayuran, buah-buahan, makanan berprotein tinggi dan makanan yang rendah lemak.

"Anda juga boleh mengamalkan latihan senaman seperti berjoging, berenang atau kelas senaman untuk wanita hamil," ujarnya.

Bagaimanapun, Mahes menegaskan, apabila wanita mula melakukan senaman mereka dinasihatkan mengambil air masak dalam kuantiti yang banyak untuk mengelak dehidrasi.

Pemeriksaan selepas hamil

Sementara itu, bagi wanita yang sudah hamil pula, pemeriksaan antenal yang kerap adalah penting untuk memantau perkembangan bayi dan ibu.

"Pemeriksaan itu juga adalah langkah awal untuk mengesan masalah kesihatan lain pada bayi dalam kandungan," ujar Mahes.

Pada peringkat kehamilan juga, wanita obes yang ingin melakukan senaman atau aktiviti fizikal wajar mendapat nasihat doktor tentang bentuk senaman yang sesuai pada fasa itu.

Ada ketikanya, apabila anda sudah mengandung aktiviti berjoging sudah tidak lagi digalakkan kerana ia meningkat risiko kecederaan. Mungkin doktor boleh mencadangkan aktiviti rendah risiko seperti menggunakan peralatan seperti basikal atau crossramp.

Langkah itu penting supaya wanita obes yang sudah mengandung mencapai kehamilan yang sihat dengan mengekalkan tahap normal gula serta tekanan darah.


PELBAGAI penyakit yang dihidapi wanita obes boleh membahayakan kesihatan bayi dalam kandungan.


Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil oleh ibu hamil bagi memastikan pertambahan berat badan sepanjang tempoh kehamilan tidak keterlaluan dan berbahaya.

1. Mengikuti sesi kaunseling nutrisi. Ini penting kerana amalan pemakanan yang betul dapat menyelamatkan ibu hamil daripada berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.

2. Melakukan ujian lebih awal untuk diabetes dan berunding dengan pakar anestesiologis mengenai pemberian sedatif yang selamat sebelum tarikh kelahiran anak. Ini penting sekiranya wanita hamil memerlukan pembedahan caesarean.

3. Jika seseorang wanita berhasrat meningkatkan tahap kesihatan sendiri, waktu hamil adalah waktu yang paling sesuai.

Ini dijelaskan oleh Dr. Laura Riley dari Hospital Awam Massachusetts yang menulis buku mengenai garis panduan ibu hamil terbitan Kolej Obstetrik dan Ginekologi, Amerika Syarikat.

Apabila ibu hamil, dia bukan sahaja merancang pemakanannya, bahkan ia mungkin titik awal untuk dia berhenti merokok demi kesihatan bayinya.