Wednesday, March 11, 2009

Isteri, ibu dan pekerja

Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my

Wanita bekerjaya perlu pandai menyeimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga.

LUANGKAN masa bersama anak-anak agar mereka tidak berasa dipinggirkan. - Gambar hiasan

WANITA dan kerjaya seringkali dikaitkan dengan bebanan kerja. Sehingga ada di antara mereka tidak terdaya lagi untuk menggalas kewajipan dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Dari pagi sehinggalah lewat petang, mereka sibuk merancang, mengurus dan membina masa depan empayar kerjaya. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib dipikulnya di rumah dilepaskan kepada pembantu rumah.

Anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai gara-gara kerjaya yang dihambat oleh ibu dan isteri. Pengabaian dalam aspek kekeluargaan itu berkaitan tentang penjagaan, penyediaan makanan dan kualiti masa dengan anak-anak.

Soalnya, adakah wanita bekerjaya hari ini masih dihimpit masalah yang sama atau mengganggap pengurusan keluarga seharusnya dibahagikan sama rata dengan suami?

Bagi Puan Sri Maimon Arif Patail yang mempunyai kerjaya hebat, beliau menolak kenyataan bahawa wanita kerjaya seringkali mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Sejauh mana bebanan kerja yang ditanggung, ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita kerjaya terlepas daripada tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anaknya," katanya.

PENTING bagi wanita bekerjaya memahami perasaan keluarga dan tanggungjawab yang harus dipikulnya. - Gambar hiasan

Beliau kini menyandang jawatan Pengurus Besar Bahagian Hal Ehwal Korporat Malaysian Mosaic Berhad (MML).

Menurutnya, berdasarkan peratusan pelajar perempuan di institusi pengajian tinggi hari ini yang lebih ramai daripada lelaki, wanita pada masa depan sukar untuk bergelar ibu sepenuh masa.

Katanya, sebalik tamat pengajian, pastinya graduan wanita tersebut akan menceburi kerjaya pilihan.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, tentulah susah bagi wanita untuk meninggalkan kerjaya bagi menjadi seorang ibu sepenuh masa. Sekiranya saya berani menjadi ibu sepenuh masa, saya akan lakukannya. Tetapi saya tidak berbuat demikian.

"Sebagai seorang ibu kepada dua orang cahaya mata, saya telah diajar untuk menjadi seorang wanita bekerjaya. Bagi saya, kerjaya tidak menjadi masalah kepada saya dan keluarga," katanya.

Katanya, apa yang beliau harapkan ialah setiap wanita yang bergelar ibu seharusnya belajar untuk berfikir dan memahami perasaan seseorang terutama anak-anak dan suami.

"Walau sibuk mana sekalipun, tanggungjawab yang harus dipikul semestinya diberi keutamaan dan dilaksanakan dengan jaya," ujarnya spontan.

Bergelar wanita berpengaruh mungkin boleh menggugat kualiti masanya bersama anak-anak. Mengulas soal itu, Maimon berkata, dalam mengendalikan hal melibatkan rumah tangga, beliau sentiasa percaya masa berkualiti penting dalam mengurus anak-anak dan suami.

"Sungguhpun hampir setiap hari bekerja saya pulang lewat, saya tetap berusaha untuk dapat menikmati makan malam bersama keluarga di rumah.

"Jika sempat, saya sendiri akan menyediakan hidangan makan malam tetapi jika sebaliknya, saya akan membelinya di kedai. Apa yang penting, kami sama-sama berpeluang menikmati hidangan malam sambil berkongsi berita yang berlaku pada waktu siang.

"Cara ini penting untuk merapatkan hubungan ahli keluarga selain saya dapat menunaikan tanggungjawab yang dituntut oleh keluarga.

"Tetapi hari Sabtu dan Ahad adalah hari memasak untuk saya. Kami akan meluangkan masa bersama di rumah sambil bergurau-senda," tambahnya.

WALAUPUN sibuk, ibu bapa seharusnya mengutamakan pemilihan menu yang sihat untuk anak-anak.

Bagi Maimon, seorang wanita yang berjaya jika hendak terus berjaya mestilah berusaha dari rumah.

"Kejayaan yang dicapai mestilah seimbang di antara karier dan keluarga," katanya ketika menjawab persoalan mengenai kualiti masa yang diberikan kepada keluarganya.

Dalam menjalani kehidupan yang penuh cabaran, Maimon berkata, ibu bapa sewajarnya mendidik anak-anak sejak kecil tentang pengurusan masa dan wang saku, membuat keputusan yang tepat dan penjagaan diri yang bijak sekiranya ibu bapa tiada di rumah.

"Nilai-nilai didikan yang sempurna bermula dari rumah. Ibu bapa seharusnya memberi kata-kata perangsang kepada anak-anak termasuk membuatkan mereka faham tentang kesibukan kerjaya yang dipikul oleh ibu bapa.

"Ini penting untuk mengelakkan rasa tidak puas hati anak-anak apabila ibu bapa kerap tiada di rumah kerana urusan kerja.

"Walaupun mempunyai pembantu rumah, ibu bapa tidak boleh melepaskan tanggungjawab 100 peratus kepada mereka," ujarnya panjang lebar.

MAIMON percaya masa yang berkualiti penting dalam menguruskan anak-anak.

Dalam kesibukan melunaskan tanggungjawab kerjaya pada setiap hari, adakah beliau masih menitikberatkan hal pemakanan anak-anak?

"Semuanya bergantung kepada keadaan memandangkan anak-anak saya sudah meningkat remaja.

"Namun begitu, ibu bapa perlu memahami cara pemilihan makanan anak-anak agar setiap pemakanan yang diambil dapat membantu meningkatkan daya ketahanan badan sekali gus mengembangkan daya kognitif mereka," katanya.

Merancang kewangan keluarga

Oleh IZYAN LIYANA MOHD DARIF
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my

Pada tahun 2009 tugas wanita untuk merancang bajet keluarga mungkin lebih mencabar.

"ORANG ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada."

IBU kepada empat orang cahaya mata, Fazuliana Wari Dali, 36, tidak pernah gagal daripada tanggungjawab menguruskan perbelanjaan keluarganya.

Meraih pendapatan yang diperoleh daripada perniagaan lukisan, dia tahu cara yang betul menguruskan kewangan.

Menyedari anak-anak semakin membesar dan sesi persekolahan juga bakal bermula tidak lama lagi, Fazuliana lebih selesa menabung untuk kegunaan pada saat diperlukan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, dia masih membeli tiga pasang seragam dan kasut sekolah untuk tiga orang anaknya yang bersekolah. Sungguhpun isu kegawatan ekonomi sudah mula diuar-uarkan, Fazuliana masih belum merancang mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan sekolah anak-anak.

Sebaliknya, dia sentiasa menasihati anak-anak agar sentiasa menjaga perilaku supaya kelengkapan sekolah boleh digunakan sepanjang tahun. Menerusi kaedah ini, dia boleh berjimat tanpa perlu membeli baju sekolah yang baru.

"Amalan berjimat cermat ini perlu diamalkan memandangkan harga barang kini semakin naik. Memang terasa apabila melihat harga barang tidak menentu. Jika sebelum ini peruntukan RM100 dapat memenuhi troli tetapi kini untuk mendapatkan barang yang sama, saya perlu berbelanja sebanyak RM250.

"Situasi ini bukan sahaja berlaku di pasar raya besar malah perang harga juga boleh dilihat di pasar borong. Jika masalah ini berterusan saya akan mengurangkan sedikit perbelanjaan supaya peruntukan perbelanjaan yang diberi suami setiap bulan sentiasa mencukupi," luahnya yang menjalankan perniagaan melalui Internet.

"SETIAP individu wajar mengamalkan sikap suka menabung."

Pengalaman selama 14 tahun bekerja di bank membuatkan Fazuliana memahami cara terbaik untuk menguruskan kewangan peribadi.

Tahun ini penuh dengan berita kurang enak mengenai ekonomi dunia. Malaysia dikatakan tidak terkecuali merasai tempias itu.

Menyedari perkembangan tersebut, kerajaan menyarankan supaya masyarakat mengambil langkah berjimat cermat. Pengguna perlu hanya membeli barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu.

"Benar, jika diperhatikan di Internet dan media, kebanyakan berita yang disajikan menyatakan negara kita bakal menempuh situasi ekonomi yang tidak menentu pada tahun ini. Tapi, orang ramai jangan mudah panik dan bimbang kerana semuanya bergantung pada gaya hidup anda sendiri.

"Sekiranya amalan jimat cermat sudah diamalkan sejak dulu lagi dan menabung, maka isu kegawatan ekonomi bukanlah suatu masalah yang besar. Malah, tatkala krisis berlaku pun kita tidak akan terasa keperitan itu," jelas Pengarah Urusan Life Specialist Financial Planners Sdn. Bhd., Laila Johari yang menyatakan setiap individu wajar mengamalkan sikap menabung.

Justeru, Laila menyifatkan tahun ini merupakan tahun yang paling sesuai untuk orang ramai belajar menabung.


Jika sebelum ini sejumlah wang diperuntukkan membeli barangan berjenama, melancong ke luar negara atau menikmati hidangan di restoran adalah lebih wajar kita mengubah tabiat sedemikian.

Orang ramai masih boleh berbelanja, tetapi biarlah berpada-pada. Sebaik-baiknya bertukarlah membeli produk tempatan dan mengunjungi destinasi percutian dalam negara. Daripada membazirkan wang yang banyak untuk makan di luar, lebih baik sekiranya wang itu digunakan membeli bahan mentah dan makan di rumah. Dengan cara ini, sambil berjimat kita dapat meningkatkan keharmonian keluarga.

Selain menghakis sikap boros, obses menggunakan kad kredit juga harus dikawal.

"PENGGUNA perlu membeli hanya barangan yang diperlukan bukan kerana didorong hawa nafsu. - Gambar hiasan"

Elakkan memiliki kad kredit lebih daripada satu kerana penggunaan kad kredit bakal membuatkan si pengguna terpaksa membayar hutang yang tinggi.

"Saya juga tidak bersetuju sikap pengguna yang gemar membayar hutang kad kredit sebanyak lima peratus pada setiap bulan. Hutang yang selebihnya tertunggak dan beralih pada bulan seterusnya. Semakin banyak hutang kad kredit, semakin tinggilah kadar faedahnya.

"Bagi golongan ibu bapa yang memakai kad kredit, disarankan supaya mereka menggunakan kad itu untuk hal-hal kecemasan atau kesihatan yang melibatkan ahli keluarga saja. Elakkan membeli barang menggunakan kad kredit kerana kesannya amat buruk," ujarnya kepada Kosmo!.

FAZULIANA (tengah) sentiasa menasihati anak-anak supaya bijak menjaga kelengkapan sekolah.

Laila mengakui sistem pengurusan kewangan keluarga terletak pada kebijaksanaan isteri dalam merancang perbelanjaan setiap bulan

Kemaruk ubat kuat

Oleh Nurul Adlina Kamaludin
adlina@bharian.com.my




Lelaki Malaysia tidak sedar bahana ubat kuat

"GAGAH, besar dan perkasa. Sekali kena, mesti nak lagi." Ini bukanlah iklan bangunan mercu tanda, projek bernilai berjuta-juta ringgit atau makanan kesihatan sebaliknya kata-kata tarikan iklan ubat atau produk perangsang tenaga batin bagi lelaki.

Ubat yang sebaliknya menjerat dan mengundang padah lebih besar - semakin ramai lelaki negara ini kemaruk ubat kuat, seperti diakui pakar perubatan.

Katakan saja di mana, baik di kaki lima, di muka pintu, di corong radio, televisyen, warung kopi di kampung, pasar gelap serta di internet, semuanya sudah mampu dibolosi iklan produk seperti pil, kapsul, minuman didakwa mengandungi Tongkat Ali, serbuk, minyak sapu dan krim. Iklan dari mulut ke mulut pula lazimnya membabitkan rawatan tradisional seperti urut, susuk dan memasukkan bebola besi pada kulit zakar itu atas alasan menjadikannya kuat.

Ketika kita tersenyum lebar mendengar iklan kopi yang namanya menggambarkan kejantanan, tidak ramai yang menyedari padah akibat 'penaklukan' ubat kuat yang berlambak di pasaran ini. Padah yang menunjukkan semakin ramai lelaki termasuk intelektual serta yang masih bergelar penuntut universiti sanggup berbelanja bagi memastikan kekuatan tenaga batin biarpun ada produk yang berisiko menjejaskan kesihatan, termasuk menyebabkan mereka mengalami mati pucuk atau Disfungsi Erektil (ED).

Data Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM27 juta untuk membeli ubat perangsang seks seperti Viagra dalam tempoh Mac 2007 hingga Mac 2008.

SEBAHAGIAN produk atau ubat kuat yang dirampas pihak berkuasa. Kawasan kaki lima turut jadi tumpuan peniaga produk ini.

Malah, ini menjadi antara faktor semakin banyak syarikat pengeluar makanan dan minuman berlumba-lumba menghasilkan produk didakwa mengandungi herba penguat tenaga batin itu selain kebanjiran produk dari India, Indonesia dan China termasuk yang diharamkan.

Namun, sejurus diharamkan, sepantas kilat ia dengan mudahnya dijual di pasaran gelap menerusi ejen atau 'kaki' yang tanpa segan silu mengiklankannya menerusi internet. Pengaruh ubat kuat ini bukan lagi soal tepuk dada tanya selera, tetapi sebegitu mudah diperoleh menerusi sentuhan di hujung jari mendail nombor telefon terpampang di kaki lima hinggalah di internet.

Selamat atau tidak produk itu, haram atau halal, mahal atau murah serta sakit atau tidak kaedahnya bukan lagi keutamaan lelaki ini yang mengutamakan nafsu daripada segala-galanya.

Persoalannya, mengapakah lelaki tempatan sebegitu kemaruk dengan produk ini? Pakar Perubatan Sakit Tuan, Dr Ismail Tambi, mengakui sikap kemaruk itu bukan saja dihidapi mereka sudah berusia yang lebih sinonim dengan masalah mati pucuk, sebaliknya lebih membimbangkan apabila ia turut membabitkan lelaki muda, termasuk remaja.

HERBA tradisional didakwa boleh menguatkan tenaga batin.

"Semakin ramai lelaki sebegitu kemaruk dengan apa saja produk penguat tenaga batin. Inilah hakikat berdasarkan pengalaman saya sejak bertahun-tahun lamanya mengendalikan kes ini yang bukannya semakin berkurangan tetapi meningkat.

"Mereka ini sanggup berbuat apa saja demi kepuasan diri. Hubungan kelamin bukan lagi rahsia suami isteri, sebaliknya menjadi lambang kebanggaan kekuatan atau kuasa si lelaki. Ini diburukkan lagi dengan kegiatan seks rambang pasangan belum berkahwin dan turut berlumba-lumba mendapatkan produk ini," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Apa menyedihkan, kata Dr Ismail, beliau merawat pesakit yang pada akhirnya berdepan masalah mati pucuk akibat tindakan mengambil produk ubat kuat ini.

"Produk ini pula ada yang bukannya buatan tempatan, sebaliknya dibawa masuk dari negara jiran. Produk diharamkan di Indonesia, China dan India ini turut mendapat sambutan hangat di pasaran tempatan. Malah, saya sendiri terpaksa membuat laporan polis apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama saya untuk mengiktiraf produk tertentu."

Dr Ismail berkata, beliau tidak segan mendedahkan masalah ini kerana menyedari tanggungjawabnya menyampaikan bahaya akibat pengambilan ubat kuat ini.

"Mereka mengambilnya tanpa mengira risiko kesihatan. Saya yakin tidak ramai menyedari bahana pengambilan produk ini. Anak muda yang mengambilnya boleh berdepan risiko mati pucuk walaupun pada usia 20-an. Malah ada satu kes itu, mangsa mengalami ereksi selama dua hari dan selepas itu alat sulitnya tidak berfungsi langsung. Bayangkan apa akan jadi pada generasi kita yang berdepan masalah seperti kesukaran mendapat anak akibat tindak tanduk sendiri."

Katanya, tidak kurang yang sanggup menderita apabila memilih memasukkan bebola besi yang menyakitkan ke dalam kulit zakar lelaki.

"Bagi mereka, kekuatan tenaga batin menjadi kunci kebahagiaan. Kaedah tradisional seperti susuk dan bebola besi ini memang menyakitkan bukan saja kepada lelaki itu tetapi isterinya juga. Tetapi beliau tidak peduli kerana apa yang penting, nafsu dirinya diutamakan.

"Banyak kes yang dirujuk kepada saya membabitkan masalah yang mana kulit zakar lelaki itu rosak. Sakit memang sakit, tetapi lelaki jenis ini sanggup menderita. Ini yang menyedihkan kita," katanya.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Muhammad Shaani Abdullah, menyalahkan sikap pengguna yang terlalu mengutamakan produk penguat tenaga batin ini sebagai punca barangan itu berlambak di pasaran.

"Ramai pengguna tidak sedar mereka sebenarnya terpedaya dengan pelbagai dakwaan palsu syarikat pengeluar produk herba dan ubat kuat yang mahu melariskan jualan mereka. Berapa ramaikah pengguna bertanyakan apakah produk itu benar-benar mengandungi bahan Tongkat Ali dan Kacip Fatimah seperti diakui pada label produk itu?

"Apakah produk dan syarikat itu boleh dipercayai dan benarkah ia mampu memberi hasil seperti didakwa? Jawapannya, tiada siapa pun boleh memberi jaminan keaslian mahu pun kemujaraban produk itu. Akhirnya, pengguna menjadi mangsa ketika pengeluar mencatat keuntungan berlipat ganda di atas produk yang tidak mengandungi sebarang keajaiban itu," katanya.

Shaani yang berpengalaman luas dalam bidang penghasilan produk herba sebelum menyertai Fomca berkata, berdasarkan pengalamannya sendiri, tidak banyak produk di pasaran yang mengandungi bahan didakwa penguat tenaga batin itu.

"Permintaan terhadap Tongkat Ali memang besar. Tetapi pengeluarannya dalam negara ini juga amat terhad dan tidak mungkin dapat memenuhi permintaan tinggi. Berikutan itu, tidak mungkin ada syarikat yang boleh mencampurkan kandungan tinggi Tongkat Ali dalam produk mereka. Saya berani jamin," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya peka dan mengutamakan hak sebagai pengguna apabila membuat pilihan bagi mana-mana produk, terutama yang membabitkan makanan.

Tiada kajian saintifik kandungan herba kuat

SEJAUH manakah produk ubat kuat ini benar-benar mengandungi bahan perangsang seks seperti herba popular Tongkat Ali?

Hakikat ini sukar dibuktikan berikutan tiada satu kajian saintifik yang benar-benar menyeluruh mengenai kebenaran dakwaan itu atau pun kaedah penyediaan serta cara ekstrak bahan itu diperoleh.

Mengikut kajian saintifik, setiap pengambilan kopi didakwa mengandungi Tongkat Ali perlu mengandungi sekurang-kurangnya 1 mg ekstrak herba itu dan daripada kandungan itu, hanya lima peratus ekstrak dapat diserap oleh badan.

Namun, kenyataan dua institusi penyelidikan tempatan sebelum ini sedikit sebanyak boleh memberi gambaran persoalan ini.

Kajian Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) membabitkan 10 jenama kopi Tongkat Ali popular di pasaran pada 2007, mendapati tujuh daripadanya mengandungi hanya 0.25 peratus hingga 1.6 peratus ekstrak herba itu yang didakwa tidak cukup untuk memberi manfaat kesihatan atau faedah seperti digembar gemburkan.

Penyelidikan itu mendapati kandungan bahan aktif herba itu di dalam minuman berkenaan pula hanya antara 0.0039 peratus hingga 0.0246 peratus atau 7.8 nanogram (ng) hingga 49.3ng, jauh daripada paras yang dapat memberi manfaat kesihatan.

Manusia normal yang berhasrat memperoleh khasiat herba itu perlu mengambil sekurang-kurangnya satu miligram (mg) bahan aktif Tongkat Ali bagi setiap kilogram (kg) berat badannya atau tidak lebih 3 mg bagi setiap kg berat badan, sehari. Atau lebih tepat lagi, individu yang mempunyai berat badan 80kg memerlukan minimum 80 mg ekstrak herba itu sehari jika mahu memperoleh faedah herba itu.

Satu lagi kenyataan memetik institusi penyelidikan, Loji Pandu Kejuruteraan Kimia (CEPP) Universiti Teknologi Malaysia yang mendakwa pengambilan kopi kuat yang mengandungi kurang 0.05 mg bahan aktif Tongkat Ali atau Kacip Fatimah, tidak mendatangkan kesan dari sudut kesihatan.

Malah jika benar mengandungi ekstrak Tongkat Ali, kopi yang diminum berasa pahit. Ada yang meminumnya mengakui lebih bertenaga tanpa menyedari ia disebabkan kandungan gula yang tinggi dalam paket dan boleh mendedahkan mereka kepada masalah kesihatan lain seperti kencing manis jika diambil berterusan dalam tempoh beberapa tahun.

INFO: Ubat kuat

  • Data Kementerian Kesihatan menunjukkan rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM27 juta untuk membeli ubat perangsang seks seperti Viagra dalam tempoh Mac 2007 hingga Mac 2008. Selain Viagra, ubat perangsang seks paling laris adalah Cialis dan Levitra.

  • Bagi tempoh Januari hingga Jun tahun lalu, RM1.4 juta ubat perangsang seks berjaya dirampas dan Selangor mencatat nilai rampasan tertinggi iaitu RM1.1 juta.

  • Sekurang-kurangnya 90 ubat tradisional penguat tenaga lelaki dan wanita, makanan tambahan dan kosmetik keluaran syarikat di Indonesia dilabelkan kerajaan negara itu tidak selamat.

  • Antara kes padah ubat kuat termasuk seorang lelaki Singapura maut akibat pengambilan ubat kuat 'Urat Madu' ketika melanggan pelacur di Batam, awal tahun ini. Pada 2007, tiga lelaki dari Pulau Pinang yang membeli ubat kononnya dihasilkan daripada zakar buaya di Chow Kit pada harga RM50 bagi 20 kapsul. Seorang daripada mangsa mendakwa mengalami kebas dan kejang badan selepas memakan dua kapsul sebelum melakukan hubungan intim dengan isterinya. Alat kelaminnya juga gagal berfungsi menyebabkannya terpaksa merujuk nasihat pakar. Seorang lagi terpaksa dirawat di hospital selama dua hari selepas memakan ubat itu