Sunday, February 28, 2010

Ejakulasi awal resahkan lelaki

ARKIB UTUSAN MALAYSIA : 28/02/2010

ANTARA rawatan Premature Ejaculation (PE) yang disarankan adalah komunikasi antara pasangan.


adawiyah.koh@utusan.com.my

Kes Satu

Seorang lelaki berusia awal 30-an mengadu sering mengalami ejakulasi awal. Dia resah dan malu sekiranya isterinya tidak mendapat kepuasan ketika mereka bersama.

Kes Dua

Seorang wanita berusia 30-an dan baru setahun berkahwin mengadu tidak pernah kenal erti klimaks hingga terpaksa berpura-pura demi memuaskan suami. Apa yang berlaku sebenarnya?

Dua paparan kes itu adalah kejadian sebenar yang sering dihadapi pasangan suami isteri akibat ejakulasi awal (PE).

Penafian, malu, rasa bersalah, hampa dan resah. Perasaan rendah diri membelenggu lelaki yang mengalami masalah pancutan mani awal atau PE. PE ialah sejenis masalah seks umum di kalangan lelaki yang masih kurang difahami. PE kini didapati mungkin menjadi punca masalah dalam beribu-ribu perkahwinan dan hubungan intim antara pasangan di seluruh rantau Asia Pasifik. Ia sekali gus menekankan betapa perlunya lelaki yang dihantui PE untuk mendapatkan nasihat perubatan dan merawat masalah tersebut.

Hasil Kajian Penularan dan Sikap Terhadap Ejakulasi Awal Asia Pasifik (AP PEPA) baru yang membabitkan lebih 5,000 lelaki menunjukkan bahawa tahap kesedaran tentang masalah yang kian menular itu masih rendah di rantau ini. Dalam kajian ini, responden diminta untuk menilai sendiri sama ada mereka menghidap PE. Selain itu, mereka turut menjawab soal selidik Alat Diagnostik Ejakulasi Awal (PEDT) untuk membuat penilaian objektif sama ada mereka menghidap PE.

Berasaskan hasil tinjauan, sehingga 29 peratus lelaki mungkin menghidap PE di Malaysia dan 31 peratus di rantau Asia Pasifik. Sementara itu, kaum lelaki secara umumnya keberatan untuk membincangkan secara terbuka atau mendapatkan nasihat atau rawatan profesional berkaitan dengan kegagalan seks kerana ia mungkin amat memalukan mereka.

Menurut Perunding Urologi dan Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, PE merujuk kepada disfungsi seks umum yang mungkin dialami sejak hubungan seks pertama atau kemudian.

Persatuan Perubatan Seks Antarabangsa mentakrifkannya sebagai "disfungsi seks lelaki yang mempunyai ciri-ciri iaitu ejakulasi yang sentiasa atau hampir sentiasa berlaku sebelum atau dalam masa kira-kira satu minit selepas persetubuhan (kemasukan zakar ke dalam vagina).

Selain itu, kegagalan menangguhkan ejakulasi setiap kali atau hampir setiap kali bersetubuh. Ia juga menyebabkan kesan peribadi yang negatif termasuk kegelisahan, gangguan, keresahan atau keputusan untuk mengelakkan hubungan seks.

Selain tahap kesedaran yang rendah, kajian PEPA juga mendapati tahap kefahaman yang rendah tentang PE di rantau ini. Malangnya, sehingga 35 peratus daripada responden berpendapat PE dan ED adalah lebih kurang sama. Hampir separuh daripada responden mempunyai tanggapan salah bahawa PE boleh dirawat dengan berkesan menggunakan ubat bagi ED. Satu dalam setiap tiga responden percaya PE langsung tidak boleh dirawat dengan berkesan.

Tambah Dr. Zulkifli, kombinasi faktor fisiologi dan psikologi dipercayai mempengaruhi mekanisme ejakulasi. Penyelidikan mendapati bahawa serotonin, sejenis neurotransmiter (seperti penghantar isyarat kimia dalam otak) yang juga membantu mengawal tidur dan selera, menyederhanakan mood dan mengurangkan kesakitan, memainkan peranan penting menentukan masa ejakulasi.

"Matlamat utama bagi terapi PE, tidak kira sama ada berbentuk farmakologi atau tingkah laku ialah untuk meningkatkan kawalan terhadap ejakulasi. Ia mungkin menghasilkan tahap kepuasan seks yang lebih tinggi bagi lelaki dan pasangannya, atau mengurangkan keresahan peribadi atau masalah keintiman yang timbul," katanya.

Dr. Zulkifli memberitahu, rawatan yang betul boleh menamatkan kekecewaan yang dialami penghidap PE dan juga pasangan seks mereka.

"Malangnya, situasi bertambah buruk kerana doktor dan pesakit tidak membincangkan perkara berhubung seks seperti yang sepatutnya kerana rasa malu atau kerana tanggapan buruk yang dikaitkan dengannya. Sementara itu, kaum wanita pula rasa berat hati untuk membincangkan perkara ini. Padahal, kami dapati ramai lelaki akan mendapatkan nasihat doktor jika didorong oleh pasangan mereka," katanya.

Antara rawatan yang disarankan adalah komunikasi antara pasangan, pendidikan psiko-seksual, strategi pemikiran dan perbuatan. Ini termasuk beberapa teknik seperti stop-start (Semens 1956 iaitu berhenti, kemudian mula. Selain itu, squeeze (Master and Johnson 1970) iaitu tahan pancutan dengan memegang atau memicit dan stop-pause (Kaplen 1980) iaitu berhenti dan tunggu.

Sementara itu, menurut Pakar Punding Urologi Universiti Malaya, Dr. George Lee, kaum lelaki perlu sedar bahawa PE adalah masalah perubatan yang boleh menjejaskan hubungan intim dan kualiti kehidupan.

"Berita baik bagi mereka PE boleh dirawat. Saya tahu mungkin sukar untuk membincangkan hal intim, tetapi mereka tidak keseorangan dan bantuan boleh didapati. Kesan PE terhadap lelaki dan pasangan mereka boleh menjejaskan hubungan. Ini bukan sahaja suatu masalah yang menyentuh soal harga diri atau kejantanan, tetapi juga memberi kesan besar terhadap kepuasan wanita, dan juga hubungan secara keseluruhannya," katanya.

Tekanan

Hasil tinjauan mendedahkan ramai responden yang disahkan menghidap PE menafikan masalah mereka. 31 peratus disahkan menerusi PEDT sebagai menghidap PE atau mungkin menghidap PE, tetapi hanya 13 peratus mengakui mereka mengalami PE. Selain itu, hasil tinjauan mendapati 29 peratus lelaki Malaysia mungkin menghidap PE, dengan Malaysia menunjukkan peratusan responden tertinggi.

Secara keseluruhan, kaum lelaki amat resah dengan masa yang singkat sebelum ejakulasi dan kegagalan mengawal ejakulasi.

"Lelaki tidak harus terus menderita dalam diam. Tinjauan serantau ini menunjukkan bahawa ramai yang tidak sanggup tampil untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dipandang serong atau rasa malu.

"Kaum lelaki perlu sedar bahawa untuk mengeratkan hubungan dengan pasangan, mereka tidak seharusnya membiarkan masalah yang boleh dirawat menjejaskan keupayaan mereka menikmati hubungan seks yang memuaskan dengan pasangan mereka," tambah Dr. Lee.

Rumah bukan hotel


SUASANA santai dapat dinikmati di ruang tamu ini melalui pemilihan perabot daripada material yang tahan lasak.


PEPATAH hanya jauhari mengenal manikam nampaknya sesuai diguna pakai setiap individu dalam menentukan sama ada sesebuah rumah itu sudah layak dipanggil kediaman impian ataupun tidak.

Ada yang mengidamkan sebuah rumah kecil tetapi sarat dengan unsur kekeluargaan. Ada pula yang mahukan mahligai yang gah di puncak bukit tetapi ringkas saja hiasannya. Tidak kurang juga yang berkehendakkan yang serba sederhana, dari luar ke dalam rumah.

Bagi Adrian How, konsultan teknologi dan strategi di sebuah syarikat konsultasi terkemuka, kediaman yang kini dikelaskan sebagai rumah idamannya itu merupakan rumah pertama yang dibeli dan didiami bersama isteri tercinta, Yin Leng.

Pasangan ini berkahwin pada tahun 2007. Berhabis untuk majlis perkahwinan, mereka menggunakan separuh lagi simpanan mereka untuk membeli sebuah parkhome di Desa Parkcity, Kuala Lumpur, seusai acara.

Mampu milik


KONSEP mampu milik sekali gus merealisasikan reka letak moden yang diidamkan Adrian sekeluarga.


"Disebabkan faktor itu, cara rumah kami dihias pada permulaannya berkonsepkan mampu milik.

Menariknya, ia bertepatan dengan rupa moden dan minimal yang hanya menggunakan garisan bersih dan mampu menambah baik visual untuk menambah keluasan ruang yang ada," ujarnya.

Bapa kepada seorang anak ini turut mendedahkan bahawa masa yang panjang terpaksa diambil untuk merancang sebelum dapat menyudahkan keseluruhan rumah itu.

"Lama juga kami habiskan masa untuk membayangkan dan membentuk gambaran dalam fikiran tentang cara terbaik menghias dan memaksimumkan ruang di dalam rumah ini.

"Hari-hari yang lain kami habiskan untuk mencari lampu, perabot, jubin dan perhiasan kecil yang lain.

"Kami mendapatkan inspirasi dan idea untuk menghasilkan draf pelan hiasan rumah dengan merujuk majalah, buku, laman-laman web dan rumah contoh.

"Akhirnya, pelan yang kami gunakan menggabungkan kesemua pelan-pelan itu," terang Adrian.

Memilih parkhome atau rumah teres dua tingkat di dalam komuniti berpagar yang dihubungkan melalui taman-taman di dalamnya, Adrian dan Yin Leng kini sebenarnya masih dalam proses menyiapkan rumah idaman mereka.

Bajet

"Sehingga kini kami baru menyempurnakan ruang-ruang rumah yang paling kerap kami gunakan iaitu keseluruhan aras bawah termasuk ruang tamu, ruang makan, dapur, bilik tidur utama dan ruang tamu kedua," jelasnya.


Cita rasa artistik tidak memerlukan perhiasan yang terlalu banyak.


Mengkelaskan diri sebagai golongan sederhana, Adrian berkongsi bahawa faktor yang menyebabkan rumah itu dilengkapkan secara berperingkat ialah bajet.

"Kami mempunyai begitu banyak idea untuk menghias rumah ini tetapi pada masa yang sama perlu berkompromi antara rancangan berbanding pelaksanaan untuk ruang-ruang penting seperti di ruang tamu, dapur dan bilik tidur.

"Pada waktu itulah saya memutuskan untuk menggunakan pendekatan berperingkat sebegini," kata Adrian.

Memandangkan rumah idaman itu ialah idaman bersama isteri, Adrian mengakui penerimaan isterinya untuk menggunakan pendekatan itu amat penting.

"Isteri saya sangat bersetuju dengan pendekatan ini. Saya tidak mungkin dapat melaksanakannya jika dia tidak bersetuju dengannya memandangkan dia juga pemilik rumah ini.

"Dia seperti saya, sebenarnya memahami bahawa rumah yang sempurna ialah rumah yang terbentuk dari semasa ke semasa, bukan yang sudah tersedia lengkap sebelum dihuni lagi. Itu hotel namanya," unjurnya.

Bagi Adrian, setiap rumah tentulah istimewa kepada setiap pemilik kerana ia memenuhi keperluan mereka.


GAYA minimal yang menerapkan konsep garisan-garisan bersih.


Tetapi untuk rumahnya, Adrian merasakan kelebihan terletak pada perhiasan dinding yang dilukis sendiri menggunakan cat akrilik dan kain kanvas kosong.

Blog

Berpendirian tetap tentang pendekatan sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit itu, Adrian turut membina sebuah laman web sebagai satu wadah untuk berkongsi pengalaman dan pendapatnya tentang menyiapkan rumah secara berperingkat itu.

"Saya memutuskan untuk membuat blog apabila saya mendapati ramai orang di luar sana yang senasib dengan saya - tercari-cari blog tentang rekaan dalaman yang sesuai dengan cita rasa tempatan.

"Sudah dua tahun blog itu wujud dengan menyentuh tentang rekaan dalaman, tip dan idea dekorasi rumah yang praktikal, saya berjaya membentuk persahabatan dengan pembaca selain banyak mendapat pujian dan maklum balas," jelasnya.

Ada juga pembaca yang meminta Adrian sendiri mereka padan kediaman dan premis perniagaan mereka.

"Saya dapat belajar banyak perkara ketika membantu mereka. Ia memberi kepuasan apabila dapat membina dan mengembangkan rangkaian melalui blog.


RUMAH idaman keluarga ini dibina berperingkat melalui persetujuan bersama kesemua pihak yang menghuninya.


"Saya juga sudah mempunyai perancangan untuk menambah baik blog itu pada masa akan datang," tambahnya.

Orang ramai boleh mendapatkan tip berguna daripada Adrian melalui blognya di http://www.howshouse.com.

Ibu Syafia Humairah nafi mengandung

KUALA LUMPUR: Nurhanim Aziz, 25, ibu mangsa dera Syafia Humairah Sahari, 3, hari ini menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beliau sedang mengandung empat bulan hasil hubungan dengan suspek yang membunuh anak perempuannya itu.

Beliau berkata, laporan akhbar itu mengaibkan dirinya dan menyebabkan beliau bertambah sedih dan tertekan.

"Saya tidak mengandung seperti yang dilaporkan...sudahlah saya kehilangan anak, ditambah pula dengan dakwaan tersebut membuatkan saya bertambah sedih," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sungai Plong, Kuang, di Sungai Buloh, dekat sini.


Laporan sebuah akhbar hari ini juga menyebut beliau dan suspek berusia 28 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan.


Nurhanim mendakwa anak bongsunya itu, Shakimi Iqbal Sahari, adalah anak bersama-sama suaminya Sahari Usol, 33, yang kini ditahan reman tanpa jaminan di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan jenayah sejak 2006.

Menceritakan kejadian itu, Nurhanim berkata beberapa hari sebelum kejadian, berlaku pergaduhan antara beliau dan suspek menyebabkan suspek tertekan kerana perlu menjaga kedua-dua anaknya semasa beliau keluar bekerja.

"Kami bergaduh mulut saja tetapi tidak sehingga dipukul dan suspek juga tidak pernah marah anak-anak saya di depan saya.

"Kali terakhir saya jumpa Syafia Humairah ialah pada Rabu lalu dan dia gembira sangat nak keluar dengan Abang Mat (panggilan mangsa kepada suspek) sebab dah lama tak jumpa dengan suspek sejak beberapa minggu lalu," katanya.

Nurhanim berkata, beliau menerima panggilan daripada suspek kira-kira 8.30 malam pada hari kejadian yang memberitahunya Syafia Humairah telah meninggal dunia akibat jatuh motosikal.

"Masa dia hubungi saya, dia menangis-nangis beritahu kejadian yang menimpa anak saya dan saya amat terkejut," katanya.

Beliau tidak menyangka suspek yang berperwatakan baik dan sering bergurau dengan anak-anaknya adalah seorang yang kejam dan beliau tidak akan memaafkan perbuatan suspek.

Pasangan itu telah menjalinkan hubungan sejak empat tahun lalu dan bercadang untuk berkahwin tahun ini selepas proses tuntutan fasakh Nurhanim selesai. - Bernama

Bella tidak menyesal


JIKA tidak mengenangkan rayuan si bapa, gadis ini lebih suka tinggal di Lombok bersama suami dan mertuanya.


UMUR anak gadis ini hanya 15 tahun ketika lari ke Lombok, Indonesia dan berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya, Hafiz Amaq Sukma, 29.

Pelarian selama tujuh bulan ke daerah Bara Bali, Mataram itu turut menyaksikan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Batu Caves ini sanggup mengetepikan kasih sayang bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, demi mengejar cinta sejati.

Tidak sampai dua minggu perkenalan, bibit cinta mula memutik di hati remaja ini.

Terpikat dengan karakter Hafiz yang digambarkan penyayang dan bertanggungjawab, hanya dua bulan diperlukan untuk menakluk hati Salsabila atau Bella dan membuatkan pelakon bertubuh kurus ini dengan rela hati mengikutnya ke Lombok.

Rindu suami

Ketika ditemui sehari selepas kepulangannya ke tanah air Selasa lalu, Bella mudah menumpahkan air mata apabila menyebut tentang suami dan kandungannya yang telah mencecah usia enam bulan.

“Saya sangat merindui suami. Kalau diikutkan, saya lebih suka tinggal di sana. Walaupun suami hanya bertani tapi hati saya lapang.

“Saya sangat berharap keluarga dapat memaafkan perbuatan saya dan menerima suami saya sebagai ahli keluarga ini. Restuilah perkahwinan kami kerana kami saling mencintai.

“Saya tidak mahu anak dalam kandungan ini membesar tanpa bapa dan saya sangat berharap suami ada di sisi apabila sudah sampai tempoh bersalin Jun nanti,” luah Bella.

Tidak pernah terbayang untuk berkahwin apatah lagi mengandung pada usia muda, anak bongsu daripada lapan beradik ini tidak menganggap status isteri dan ibu itu sebagai beban.

Sebaliknya, kehamilan tersebut telah banyak membantu mematang dirinya yang selama ini dimanjakan oleh bapanya, seorang bapa tunggal.

Malahan keluarganya turut terkesan dengan perubahan karakternya yang positif itu.

“Saya gembira dengan kehadiran anak ini kerana ia hasil perkongsian sah antara saya dan suami. Saya akui tempoh kehamilan ini amat sukar bagi remaja seperti saya, apatah lagi tanpa suami di sisi.


WALAUPUN hidup serba sederhana, Bella akui dia hidup bahagia bersama suaminya.


Pegang penyapu

“Apabila disahkan hamil, saya mula dekat kepada Allah dan banyak panduan yang diberi oleh suami dan keluarga mertua di Indonesia.

“Saya tidak lagi liar dan malas. Dulu, ayah layan saya seperti puteri sampaikan saya sendiri tak pernah pegang penyapu di rumah ini. Semuanya ayah yang buat.

“Tetapi selepas berkahwin, tanggungjawab sebagai isteri banyak mendidik saya untuk memikirkan hal rumah tangga.

“Daripada seorang yang tak ambil peduli hal rumah dan dapur, sekarang saya rimas kalau rumah bersepah,” ujarnya.

Tambahnya, walaupun sedar ada risiko kesihatan apabila hamil pada usia belasan tahun, anak jati Kuala Lumpur ini tidak mahu menambahkan kusut fikirannya.

“Saya sayangkan anak ini dan jika berpeluang saya mahu membesarkannya bersama suami,” tuturnya.

Berdasarkan tinjauan Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO, sememangnya kebanyakan gadis yang dibawa lari ke Lombok masih di bawah umur.

“Malah jika diimbau kes-kes sebelum ini, ada remaja berumur 12 tahun dibawa ke sana dan berkahwin dengan lelaki seberang.

Eksploitasi

“Di pusat tahanan imigresen di Mataram memang ramai gadis bawah umur yang ditahan. Kebanyakannya menjadi pendatang haram kerana hendak berkahwin dengan pemuda di sana,” kata Pengerusi biro itu, Datuk Muhd. Khairun Aseh.

Mengulas lanjut tentang kehamilan remaja, Pakar Reproduktif Manusia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr. Hamizah Abu Hassan berkata, kehamilan remaja tidak boleh mengubah 100 peratus personaliti si ibu.

Jelasnya, remaja pada umur 15 tahun tidak mampu secara fizikal dan mental untuk menguruskan anak mereka sendiri.

“Jika mereka bertegas bahawa mereka yakin mampu menjaga anak dan menjadi isteri serta ibu yang baik, itu hanya perasaan mereka. Hakikatnya, mereka tidak berupaya.

“Mereka tidak faham apa makna tanggungjawab membesarkan anak walaupun perasaan ‘aku boleh buat’ itu ada.

“Sebab itu mereka memberontak apabila ada yang memperkecilkan kebolehan mereka menguruskan anak pada usia sementah itu,” jelasnya ketika dihubungi Jurnal.


BELLA bertuah kerana berjaya dibawa pulang sedangkan masih ramai gadis tempatan ditahan pihak berkuasa Indonesia.


Risiko kelahiran

Tambah Hamizah, pada usia belasan tahun, boleh dikatakan semua remaja hanya mengikut perasaan dan memikirkan keseronokan dan kepuasan sendiri tanpa memikirkan perasaan dan masalah orang lain.

“Dari satu sudut, mereka belum boleh berfikir secara matang dan rasional, jadi kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya,” katanya.

Menyentuh aspek fizikal, beliau memberitahu kehamilan pada usia itu paling terdedah kepada komplikasi dan risiko sebelum, semasa dan selepas bersalin kerana perkembangan tubuh gadis belum sempurna.

“Pada usia 15 tahun, masih ada banyak ruang tumbesaran yang belum lengkap sepenuhnya.

“Pembesaran rahim dan tulang pinggul belum mencapai ukuran sesuai untuk seorang remaja itu mengandung apatah lagi melahirkan bayi.

“Kekurangan itu bukan sahaja mendatangkan risiko kepada bayi bahkan kepada ibu semasa proses kelahiran.

“Apabila perkara ini terjadi, pembedahan mungkin diperlukan untuk menyelamatkan nyawa bayi,” tambahnya.

Antara risiko lain yang boleh mengancam kehamilan di kalangan remaja termasuklah keadaan sakit mahu bersalin pramatang, anemia atau kekurangan zat besi dalam darah.

Mereka turut mengalami masalah air belebihan di dalam tisu, bengkak pergelangan kaki dan kehadiran protein dalam air kencing.

“Secara azalinya, seorang perempuan itu sesuai hamil selepas umurnya mencapai 20 tahun kerana perkembangan fizikalnya sudah sempurna,” ujarnya.

Jalan-Jalan Suami-Isteri: Segala-galanya ada di Melaka




PENGUNJUNG ke Melaka akan disambut dengan slogan, Melawat Melaka Bersejarah Bererti Melawat Malaysia. Slogan itu jelas tertera di pintu gerbang ketika memasuki negeri itu di Lebuh Raya Ayer Keroh-Jalan Tun Razak.

Benarkah apa yang ada di seluruh Malaysia ada di Melaka? Secara amnya, banyak produk pelancongan ditawarkan kepada pengunjung baik dari segi kemudahan awam, tempat kunjungan, pusat beli-belah, hotel, institusi pendidikan, pantai, pulau dan sebagainya.

Melaka juga bercirikan 1Malaysia, kata seorang peserta rombongan ketika berkunjung ke Melaka baru-baru ini. Dia menegaskan, pendapatnya itu berdasarkan nilai-nilai yang ketara di mata kasarnya.

Dari segi perpaduan dan penerimaan, sejarah membuktikan Melaka sudah lama menerima kewujudan pelbagai kaum.

Dari zaman pedagang Cina dan India, hinggalah ke zaman Kesultanan Melaka kemudian ke zaman penjajahan seterusnya era sebelum dan selepas merdeka.

Kini, keluarga Baba Nyonya, Portugis dan Chitti hidup dalam suasana aman damai di tengah-tengah kelompok komuniti Melayu, Cina dan India. Nilai kepelbagaian itu jelas mempunyai kuasa tarikan untuk pelawat domestik dan pelancong asing.

Keistimewaan diiktiraf

Bandar raya Melaka bagaikan bandar dalam taman, kerana di celah-celah sistem jalan raya yang teratur dan bangunan tinggi serta moden, mata akan dipukau pemandangan indah landskap taman dan bunga-bungaan yang ditata rapi dan bersih.


WARNA merah bangunan Stadhuys ini menjadi antara ikon kegemaran untuk peluang fotografi.


Melaka yang dinobatkan negeri maju pada Oktober ini telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Bandar Raya Warisan Dunia.

Seramai 8.9 juta pelancong melawat Melaka pada tahun lepas iaitu melepasi sasaran 7.4 juta orang, manakala pada 2008 seramai 7.4 juta orang melawat negeri bersejarah itu.

Melaka terkenal dengan aset sejarah peninggalan zaman Kesultanan Melayu Melaka, Portugis dan Belanda yang terletak di sekitar Bandar Hilir.

Terdapat lebih 20 muzium termasuk Muzium Baba Nyonya dan Muzium Chitti yang menceritakan secara terperinci khazanah sejarah ini.

Pelawat juga boleh mengunjungi perkampungan Portugis di Ujong Pasir, perkampungan Chitti di Jalan Gajah Berang dan Kampung Morten iaitu perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar raya Melaka.

Pelbagai taman disediakan untuk dilawat tetamu selain Zoo Melaka, iaitu Taman Mini Malaysia dan Asean, Taman Buaya, Taman Rama-Rama, dan Taman Botanikal Melaka.

Tidak ketinggalan, Kampung Buku Malaysia Melaka, Muzium Lebah dan Taman Seribu Bunga menawarkan pengalaman istimewa. Semua lokasi tersebut terhimpun di sekitar Ayer Keroh.

Produk pelancongan lain yang patut dilawati ialah menyusuri sungai Melaka dengan bot Melaka River Cruise, Menara Taming Sari, Eye On Malaysia, Duck Tour, Water Taxi dan Kompleks Planetarium.

Jika beberapa negeri di Malaysia bangga dengan pantai mereka, Melaka juga mempunyai pantai yang indah dan bersih seperti Pantai Puteri dan Pantai Tanjung Bidara di samping Pulau Besar.

Kolam air panas di Gadek dan Bemban serta air terjun di Asahan, menambahkan lagi tarikan Melaka. Peminat agropelancongan pula boleh ke daerah Alor Gajah dan Jasin untuk meninjau produk di sana.

Syurga beli-belah

Melaka diibaratkan syurga kepada mereka yang gemar membeli-belah daripada produk kraf tangan hinggalah pelbagai barang berjenama terkemuka.

Pengunjung boleh berjalan kaki dari satu bangunan ke satu bangunan untuk memasuki pusat beli-belah seperti Kota Fesyen di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Batik House dan Dataran Pahlawan Megamall.


MUZIUM Samudera di Bandar Hilir paling diingati kerana reka bentuknya adalah berdasarkan replika kapal Flor De La Mar.


Mereka yang menyukai barang antik boleh mengunjungi Jonker Walk. Premis menjual produk kraf tangan terdapat banyak di pusat bandar dan di kawasan khas serta di tepi-tepi jalan.

Bagi mereka yang mencari tempat untuk menjamu selera, Melaka kaya dengan keistimewaan makanan seperti asam pedas dan ikan bakar.

Malah, tidak sempurna kunjungan kalau tidak pergi ke medan ikan bakar Melaka di Umbai, Kuala Duyung, Serkam dan Alai.

Melaka turut berbangga dengan variasi kemudahan sukan yang disediakan kepada umum di tempat bertaraf dunia seperti Pusat Bowling Antarabangsa Melaka, Sirkit Sukan Pemotoran Antarabangsa Melaka dan padang golf.

Bagi menjadikan Melaka pusat pendidikan terulung, kerajaan negeri menyediakan pelbagai kemudahan pendidikan dari peringkat rendah hingga tinggi. Kemudahan pendidikan itu juga terbuka kepada pelajar antarabangsa.


KREATIVITI hiasan beca dan keramahan pengayuh beca di Melaka pasti meninggalkan kenangan istimewa buat pelancong.


Antara institusi yang mempunyai reputasi terbaik ialah Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia, MCET UniKL Alor Gajah dan Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka.

Begitu juga dengan Kolej Komuniti, Politeknik, Kolej Yayasan Melaka, Kolej Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka, Kolej Stamford, Kolej Antarabangsa DMDI dan Kolej Risda.

Kecemerlangan Melaka yang banyak dikongsi dengan pelancong, menggerakkannya untuk menawarkan kemudahan pelancongan kesihatan yang boleh diperoleh di hospital dan klinik kerajaan serta swasta negeri ini.

Melaka juga sedang berkembang dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dengan yang terbaru dilengkapi perkhidmatan jalur lebar berkelajuan satu gigabit per saat.

Bioteknologi pula ialah bidang yang semakin berkembang sebagai penjana pendapatan baru kepada Melaka, termasuk penubuhan Perbadanan Bioteknologi Melaka dan Institut Bioteknologi Melaka.

Sebagai usaha mewujudkan insentif menarik kepada pelabur, Melaka turut menyediakan kawasan perindustrian untuk pelabur yang ingin membuka kilang di negeri ini.

Jika bukan kerana pelancongan rekreasi, Melaka juga merupakan destinasi terbaik mengadakan pameran, bengkel, seminar dan konvensyen antarabangsa.


MENYUSURI Sungai Melaka dengan bot pesiaran Melaka River Cruise memudahkan orang ramai mendalami sejarah pembangunan negeri itu.


Ini berikutan kemudahan yang terdapat di MITC, hotel dan resortnya. Chalet dan konsep inap desa turut disediakan kepada pengunjung untuk memastikan mereka tidak hanya singgah, tetapi bermalam di Melaka.

Perangi klip video lucah sebelum bangsa parah

BARU-baru ini, gara-gara gilakan koleksi klip video lucah seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Jerteh sanggup menjadi dalang berpakat membenarkan rakan untuk pecah rumah keluarga sendiri! Puncanya kerana tidak mampu melunaskan hutang membeli klip video itu yang berjumlah kira-kira RM1,000.

Lebih mengejutkan, kedua-dua pembekal klip video lucah yang berjaya pecah masuk ke rumah pelajar terbabit juga adalah pelajar perempuan. Pengsan!

Apa pun, kita harus mengakui generasi murid atau pelajar bermula bangku sekolah hari ini begitu terdedah dengan bahan lucah. Jika dahulu sumbernya hanya dari buku picisan kemudian beralih ke bentuk kaset video, DVD dan laman web tetapi terkini hanya di genggaman tangan sahaja!

Tanpa kita sedari, telefon bimbit yang dilengkapi dengan aplikasi video menjadi alat perosak anak-anak bangsa apabila mereka dari usia mentah telah 'mabuk' dengan bahan-bahan lucah!

Penangkapan seorang pengurus sistem sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka yang menyalah guna kemudahan laluan talian syarikatnya untuk menjual klip video lucah melalui SMS baru-baru ini tidak harus terhenti begitu sahaja.

Usaha mencekup 'makhluk perosak' ini mesti diteruskan lagi kerana dipercayai pasti ada lagi mereka yang ghairah ingin menjadi jutawan atas kemusnahan pemikiran, jiwa dan moral generasi muda kita!

Adakah wajar kita biarkan sekerat dua individu yang untungnya berbelas juta ringgit tetapi modal insan rakyat negara ini ruginya tidak terkira banyaknya?

Justeru, kerajaan mesti benar-benar bertegas tentang hal ini. Kementerian serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berserta jabatan atau agensi berkaitan serta pihak berkuasa perlu melipatgandakan usaha memerangi gejala penyebaran klip video lucah ini.

Namun, dalam masa yang sama, golongan ibu bapa mestilah mengamalkan konsep "anak didahulukan" bukannya "anak dimanjakan".

Usah manjakan anak hingga benarkan mereka yang belasan tahun pun memiliki telefon bimbit mewah atau lengkap dengan aplikasi video! Benar, anak anda itu baik dan anda yakin dia tidak akan salah guna tetapi mana tahu itu di depan, di belakang mata siapa tahu.

Oleh itu, memadai dengan telefon bimbit biasa. Tidak perlu lebih daripada itu. Jika sudah siap sedia dengan set video itu namanya hendakkan hiburan yang merosakkan bukannya kerana kemudahan perhubungan atau keperluan keselamatan.

Ini kerana pengaruh rakan atau kenalan ditambah dengan rasa ingin tahu yang normal di peringkat usia belasan tahun akan mendedahkan anak-anak kita kepada penyebaran bahan lucah dalam bentuk klip video!

Jika masih ada yang bersikap tidak apa dengan 'barah' ini dikhuatiri institusi sosial di negara kita ini kelak musnah akibat pelbagai masalah berbangkit kesan daripada ketagihan bahan pornografi dan penyebaran klip video seks. Jadi, bertindaklah segera selamatkan akal budi anak-anak 1Malaysia!

Arif Atan

Tanah Merah, Kelantan

Cium anak pun boleh dapat pahala

Sesiapa yang mengembirakan anak perempuannya, darjatnya seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah. Orang yang menangis takutkan Allah diharamkan oleh Allah akan api neraka ke atas tubuhnya.

Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tidak masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak.

Sesiapa yang keluar ke pekan Muslim dan membeli barang-barang dan kembali ke rumah
dengan buah tangan untuk anak-anaknya, nescaya mendapat rahmat daripada Allah dan
tidak diseksa di Akhirat kelak.

Muliakan anak-anak dengan mengajar mereka adab dan ilmu agama. Sesiapa yang memuliakan anak-anaknya dalam keadaan jahil dia turut menanggung tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anaknya itu dan barangsiapa membekalkan anaknya itu turut diperolehinya.

Aqrak pernah terlihat Nabi SAW mencium cucu baginda Hassan. Aqrak berkata; “Anakku sepuluh orang banyaknya, namun tiada seorang pun yang pernah aku cium.” Sabda Nabi SAW; “Orang yang tidak menyayangi tidak pula akan disayangi..” Sesiapa ke pasar dan membeli sesuatu barang untuk ahli keluarganya dan dia memikulnya ke rumah; pahalanya seperti dia memikul sedekah untuk orang yang sangat berhajat. Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka sesiapa menyukakan anak perempuan seolah-olah dia memerdekakan anak Nabi Ismail.

Seorang lelaki bertanya; “Ya Rasulullah, kepada siapakah harus aku berbakti? ” Jawab baginda; “Berbaktilah kepada ibu bapamu.” Kata lelaki itu lagi; “Ibu bapaku sudah tiada lagi.” Sabda Nabi SAW; “Kalau begitu berbaktilah kepada anakmu, ibubapa berhak terhadap dirimu dan anakmu pula berhak ke atas dirimu.”

50 panduan utk menjadi suami mithali

1 Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2 Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3 Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4 Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5 Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6 Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7 Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8 Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9 Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10 Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11 Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan menbahagiakan pasangan anda.

12 Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13 Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ?

14 Didik isteri dengan memberi nasihat dan perigatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15 Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16 Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera

17 Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18 Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19 Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang menbeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana ?

20 Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21 Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22 Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23 Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24 Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain (kecuali ibu). Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25 Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26 Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27 Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28 Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29 Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30 Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31 Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32 Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33 Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34 Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga ?

35 Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36 Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37 Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38 Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39 Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40 Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum, lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41 Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel untuk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42 Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melalui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43 Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yan isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44 Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45 Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46 Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah, suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47 Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48 Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49 Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50 Urus stres dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakukan riadah, berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

Monday, February 22, 2010

Tips Laki Bini: Teknik Bertengkar Secara Positif

Rasulullah bersabda, "Sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga." (Riwayat Anas Bin Malik)


Tidak indahkah dijanjikan dengan sebuah rumah di tengah-tengah syurga? Sekalipun kita di pihak yang benar, namun untuk mengelakkan perbalahan berpanjangan, mengalah sahajalah. Rugikah kalau beralah? Bagi sesetengah orang yang mementingkan diri sendiri mungkin tidak munasabah jika mahu beralah tetapi apa kata kalau saya katakan ‘orang yang beralah akan menang besar kemudiannya?’


Pergaduhan suami isteri akan sentiasa berlaku. Bak lagu P.Ramlee ‘Sedang lidah lagi tergigit’. Anda tidak akan sentiasa boleh berkata ‘ok’ kepada isteri anda begitu juga dia. Setiap kali pergaduhan berlaku, pasti akan ada hati yang akan terluka terutamanya hati orang perempuan yang memang diketahui tidak dapat diramalkan.


Jika pergaduhan itu berpunca daripada sesuatu yang sangat kecil, maka jika kita perbesarkan, maka akan terlihatlah peribadi sebenar seseorang itu. Sungguh akan terlihat betapa hodoh sekali seseorang itu tambahan pula, mulutnya mudah sekali melancangkan kata-kata yang tidak sedap didengar.


Sabda Rasulullah s.a.w:

"Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor." (Riwayat Ibnu Mas’ud RA)

Dalam sabda ini, dapatlah kita fahami bahawa orang yang berkata keji bukanlah orang mukmin sebenar. Betapa iman kita dapat disukat dengan perlakuan yang sangat keji ini.

Pernahkah anda melihat pergaduhan suami isteri ini daripada sudut yang positif? Sebenarnya, pergaduhan akan menyebabkan terbentuknya satu penyatuan pelbagai perkara termasuklah cita rasa dan impian pasangan itu. Bagi mencapai tujuan inilah kita sering bertelingkah dengan pasangan untuk mencapai sesuatu yang terbaik. Tidaklah saya maksudkan pergaduhan adalah
baik, namun hal ini adalah lebih baik daripada kita berdiam dan tidak berbincang sehingga akhirnya tidak ada penyatuan antara suami dan isteri.


Justeru, pergaduhan menjadi medium kepada pasangan dalam menyatukan kasih sayang. Setiap individu akan melahirkan perasaan tidak puas hati dan sebagainya. Maka, di sini adalah tempat untuk mencurahkan perasaan. Jadi, janganlah memendam perasaan sehingga jiwa kita menjadi tertekan ibarat belon yang akan pecah akibat ditiup dengan angin yang kuat. Jika tidak
diluahkan, pasangan anda tidak mungkin akan tahu perkara yang ada dalam hati anda.


Di sini, saya akan kongsikan beberapa tip untuk bertengkar secara positif:


1. Jangan terlampau banyak bercakap – Ketika bertengkar, hati masing-masing pasti dalam keadaan marah. Ketika marah, pasti perkara yang logik sekalipun tidak diterima melainkan masing-masing mahu menegakkan pendapat masing-masing. Jika anda sebagai suami mempunyai hak untuk bercakap sekalipun, kurangkan daripada terlalu menegakkan pendapat anda sendiri. Hal ini akan mencetuskan perasaan tidak puas hati kepada pasangan
anda sehingga perlahan-lahan dia akan menjadi bosan dengan anda. Yang perlu anda lakukan adalah dengan memikirkan secara mendalam cara untuk membetulkan keadaan.


2. Jangan menyebut kelemahan pasangan – Bukan hanya isteri anda yang mempunyai kelemahan, anda juga ada ke-lemahan sendiri. Jadi, dengan mengungkit kelemahan dia, anda akan turut merangsang pasangan mengungkit kelemahan anda. Lagi pula, anda tidak akan menang dengan hanya mengungkit sebegini tetapi menyebabkan keadaan lebih parah. Jika mahu menegur pasangan, minta dia meluahkan ketidak-puasan hatinya tentang anda dahulu
supaya apabila giliran anda nanti, dia tidak akan meninggikan suara.


3. Jangan membalas perbuatannya – Sebagai contoh, pasangan anda bermesra-mesra dengan lelaki sebelah rumah. Anda mahu membuatkan dia sedar bahawa perbuatannya salah. Jangan anda pula bermesra-mesra dengan perempuan lain di hadapan dia. Keadaan ini hanya memberi peluang yang lebih kepada isteri anda untuk menjauhi anda. Akhirnya, anda turut
terlibat dalam menjarakkan perhubungan anda sendiri.


4. Jangan cuba mengubah pasangan – Anda dibesarkan dalam keluarga ‘begini’, isteri anda dibesarkan dalam keluarga ‘begitu’. Pastilah terdapat perbezaan antara kedua-duanya. Anda harus memahami bahawa cara dia melihat sesuatu pasti tidak sama dengan pandangan anda.


5. Fokus pada masalah – Jangan meleret-leret sehingga perkara yang bukan masalah akhirnya akan turut menjadi masalah.


6. Jangan tinggikan suara – Semakin tinggi suara kita ketika bergaduh, semakin tinggilah suara pasangan kita nanti. Pergaduhan seperti ini tidak akan menjadikan keadaan semakin baik malah semakin kusut. Cubalah bercakap dengan tenang sehingga isteri anda yang sedang marah akan turut tenang dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah dengan lebih cepat.


7. Gunakan panggilan manja – Ada pasangan yang pada masa biasa menggunakan panggilan ‘sayang’ atau ‘manja’ tetapi ketika bergaduh, keadaan akan beralih sebaliknya. Panggilan kasar mengambil alih menyebabkan pasangan anda merasakan dirinya rendah sekali. Jangan emosi sehingga tergamak menggunakan panggilan kasar termasuklah ‘aku’ dan ‘kau’.


8. Elakkan terlalu emosional – Ketika sesi bergaduh ini, pasti pasangan anda akan selalu terlepas mulut. Jadi, jangan ambil perkara yang dikatakannya terlalu serius memandangkan ketika sedang bergaduh, seseorang itu cenderung berkata yang tidak-tidak terhadap lawannya.


9. Gunakan perkataan yang baik-baik – Selain menggunakan panggilan manja, gunakanlah juga perkataan yang tidak menyalahkan. Perkara ini akan menyebabkan masalah akan cepat selesai. Antara contoh perkataan yang boleh anda gunakan ialah, "Abang rasa sayang tak patut buat macam ni," berbanding "Ni semua salah engkaulah!"


10. Jangan bertengkar di depan makanan atau di tempat tidur – Hal ini
kerana tempat tersebut sepatutnya tempat kita menjamu selera dan bermesra-mesra sesama sendiri.


11. Dengar luahan isteri – Mungkin sahaja perkara yang disampaikan oleh
isteri anda itu dapat menyelesaikan masalah. Jika anda hilang tumpuan ketika ini, bukan sahaja anda akan kehilangan idea yang baik malah anda menggunakan cara sendiri yang belum tentu dapat menyelesaikan masalah anda berdua.


12. Jangan bergaduh di depan anak – Dengan bergaduh di hadapan anak, anda
hanya akan membuatkan anak keliru dan mengadili sama ada ibu atau bapa mereka yang berada di pihak benar atau salah. Perkara yang lebih menakutkan akan berlaku jika anak anda menceritakan keadaan anda berdua kepada orang luar. Hal ini akan menjejaskan imej anda sekeluarga.


13. Bersabar – Sekalipun anda lelaki dan anda lebih kuat secara fizikal berbanding dengan isteri anda, jangan sekali-kali anda cuba untuk mengasari isteri anda. Dibimbangi dia juga akan belajar untuk melawan dan membaling segala jenis pinggan mangkuk ketika bergaduh pada masa lain.


14. Say NO to third party – Selagi terdaya menyelesaikan masalah anda sendiri, jangan libatkan orang lain. Campur tangan pihak ketiga kebanyakannya hanya menyulitkan keadaan. Sekiranya perlu, pilihlah orang yang adil untuk menyelesaikan masalah anda.


15. Mengalah tidak bererti kalah – Mengalah ketika saat genting ini tidak menunjukkan anda kalah. Anda hanya perlukan masa untuk membuktikan bahawa tindakan anda sebenarnya betul.


16. Jangan keluar dari rumah sebelum selesai – Selalu menonton drama di TV? Kebanyakannya menunjukkan suami akan segera meninggalkan rumah semasa bergaduh untuk memudahkan cerita. Tindakan ini sebenarnya akan menyebab-kan isteri anda ditinggalkan dalam keadaan keliru. Hal ini menyebabkan dia akan berasa tertekan dan anda perlu ingat bahawa anak-anak akan ditinggalkan bersamanya di rumah. Perempuan yang hilang kewarasan
akibat tekanan yang dahsyat akan menyebabkan mereka akan bertindak yang bukan-bukan. Mungkin sahaja dia akan memudaratkan dirinya atau anak-anak anda boleh menjadi mangsa keadaan. Sekiranya anda rasa tidak dapat menahan marah, beritahu isteri anda bahawa anda perlukan sedikit ketenangan dan hal ini lebih menampakkan rasa tanggungjawab anda terhadap permasalahan anda berdua.


17. Luahkan – Selain menjadi pendengar kepada permasalahan isteri, anda turut perlu meluahkan perasaan anda. Tunggu sehingga dia habis berbicara sebelum anda menyambung pendapat anda. Sekiranya anda tidak memberitahu keadaan sebenar anda, belum tentu dia dapat memahami keadaan anda.


18. Pelukan dan kemaafan – Hal inilah detik paling indah dalam pergaduhan. Setelah dirasakan masalah telah selesai, jangan melewatkan detik untuk memeluk pasangan anda seeratnya. Ucapkan perkataan maaf dan berharap agar perkara seperti itu tidak akan berlaku lagi. Keadaan ini akan menyebabkan perhubungan anda selepas itu lebih erat dan mantap dengan satu kesatuan hati yang lebih hebat.


Artikel di atas dipetik daripada Bab 9: Sedangkan Lidah Lagi Tergigit
dalam buku Manual Kerja Super Suami. Maklumat lanjut berkenaan buku ini
boleh didapati di www.books.perintis. com.my

KEBAHAGIAAN SEORANG SUAMI


Seorang lelaki telah berumah-tangga dengan seorang wanita solehah. Hasil dari perkahwinan ini pasangan tersebut telah dikurniakan beberapa orang anak lelaki dan perempuan, kehidupan mereka sekeluarga sungguh bahagia dan sejahtera.


Si isteri sewaktu hidupnya, adalah seoarang wanita yang beriman dan bertaqwa, berakhlak mulia dan rajin beribadah, ia juga adalah isteri yang setia dan taat kepada suaminya, seorang ibu yang penyayang dan sebaik-baik pendidik kepada anak-anak-anaknya.


Rumah tangga yang indah ini kekal selama 22 tahun, sehinggalah si isteri meninggal dunia. Setelah jenazah si isteri diuruskan dengan sempurna, disolatkan dan dikebumikan, maka semua ahli-keluarga, saudara-mara dan kaum-kerabat berhimpun di rumah si suami untuk mengucapkan ta'ziah. Kesemua yang berhimpun itu mahu mengucapkan kata-kata yang boleh meringankan dan mengurangkan rasa pilu dan kesedihan si suami kerana kehilangan isteri yang paling dikasihi dan dicintai.


Namun demikian, sebelum sempat sesiapapun berkata-kata, si suami telah berkata:
" semoga tidak ada sesiapapun dari kamu yang mengucapkan ta'ziah kepadaku sebaliknya dengarlah kata-kata ku ini."

Semua yang berhimpun terkejut dan terdiam dengan kata-kata si suami itu..


Si suami meneruskan kata-katanya:
" Demi Allah yang tiada AIlah yang berhak disembah melainkan-Nya, sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling bahagia dan gembira bagiku, lebih gembira dan bahagia dari malam pertamaku bersama isteriku itu.

Maha Suci Allah Ta'ala, sesungguhnya isteriku itu adalah sebaik-baik wanita bagiku, kerana ia sentiasa mentaatiku, menguruskan diriku dan anak-anakku dengan sebaik-baiknya dan juga ia telah mendidik anak-anakku dengan sempurna. Aku sentiasa bercita-cita untuk membalas segala jasa-baik yang dilakukannya kepada diriku. Apabila ia meninggal dunia aku teringat sebuah hadith Nabi (salla 'Llahu 'alayhi wa aalihi wa sallam);


"Mana-mana wanita yang meninggal-dunia sedang suaminya redho kepadanya pasti akan masuk ke dalam Syurga."
[1]

Tatkala akan meletakkan jenazahnya di dalam lahad, aku telah meletakkan tanganku di kepalanya dan aku berkata:
"Wahai Allah, Aku sesungguhnya redho kepadanya, maka redhoilah ia." Kulang-ulang kata-kataku itu, sehingga tenang dan puas hatiku..

Ketahuilah sekalian, sesungguhnya aku, di saat ini amat berbahagia dan bergembira, tidak dapat ku gambarkan kepada kalian betapa hebatnya kebahagian dan kegembiraan yang ku rasakan ini.


Maka barang siapa yang telah bercadang untuk mengucapkan ta'ziah kepada ku atas kematian isteriku itu, maka janganlah kamu melakukannya. Sebaliknya ucapkanlah tahniah kepadaku, kerana isteri telah meninggal dunia dalam keadaan aku redho kepadanya.. Semoga Allah Ta'ala menerima isteriku dengan keredhoan-Nya. "

Penawar Kepenatan

Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling gandum untuk membuat roti.. Saidina Ali berkata :

"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah. Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta menantu itu. Baginda s.a.w. berkata:

"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah) 33 kali dan bertakbir (Allahuakbar! ) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan
menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w. ini. Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali) dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam iaitu sebelum melelapkan mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , InsyaAllah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari dengan senyuman.

"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"
(Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar

SUSU IBU KHASIATNYA TIDAK TERNILAI

KELAHIRAN bayi bermulanya detik indah kehidupan. Rumah tangga anda dilimpahi cahaya. Kehadiran si manja mengeratkan jalinan kasih suami isteri. Kini tanggungjawab anda berdua menyempurnakan hidupnya. Menyusui bayi dengan susu sendiri permulaan paling bermakna. Segunung kebaikan dan ganjaran menanti bayi anda. Ganjaran bukan hanya untuk bayi malah diri anda juga.

Menyusu bayi dengan susu ibu langkah penting ke arah perkembangan dan pembesaran bayi yang sihat. Pengalaman unik ini telah dilalui wanita sejak permulaan zaman lagi. Ajaibnya kuasa Tuhan. Sebaik bayi dilahirkan proses pengeluaran susu juga bermula. Jangan sia-siakan kurniaan berharga ini. Susuilah bayi anda dengan penuh kasih sayang. Andai ini pengalaman pertama, timbalah ilmu dan dapatkan pengetahuan daripada mereka yang berpengalaman.

Susu ibu berperanan penting dalam tumbesaran anak. Khasiatnya besar. Mampu menjauhkan penyakit sekali gus menyihatkan anak. Banyak kajian dilakukan di serata dunia untuk membuktikan kelebihan susu ibu yang tidak dapat diperolehi daripada susu formula. Tuhan telah menentukan susu ibu untuk anak manusia. Malah Dia telah berpesan dalam firmanNya dalam surah AlBaqarah ayat 223, surah Luqman ayat 14 dan surah Ahqaaf ayat 15. Ketiga-tiga ayat dalam surah berlainan ini menyebut ibu hendaklah menyusukan anaknya selama dua tahun iaitu bagi mereka yang ingin menyempurnakan susuan. Agama Islam pula ada menggambarkan pembalasan di hari akhirat bagi ibu-ibu yang enggan menyusu anak dengan sengaja "maka berdatanganlah ular menggigit kedua-dua belah buah dada wanita itu."

Susu ibu menyelamatkan nyawa

Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.

Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.

Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.

Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.

Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.

Mengapa tidak menyusu?

Menurut Penolong Pengarah Zat Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia, Puan Rokiah Don, kadar penyusuan ibu di kalangan ibu-ibu bekerja terutamanya di kawasan bandar menurun. Antara faktor yang mempengaruhi atau menghalang ibu-ibu untuk terus menyusui bayi adalah kecetekan pengetahuan, tiada pengalaman dan tiada sokongan. Banyak memberi alasan menyusu badan tidak praktikal, menyusahkan, letih, suami tidak dapat memainkan peranan, bimbang kesihatan diri terjejas dan tidak yakin bayi mendapat bekalan susu mencukupi. Malah ada yang bimbang buah dada akan melendur.

Sekiranya anda salah seorang yang menghuraikan alasan tersebut, jelas pengetahuan anda mengenai susu ibu terlalu cetek. Tempoh dua tahun bagi yang menyempurnakan susuan atau sekurang-kurangnya enam bulan pertama amat berharga. Bukankah anak itu anugerah Tuhan yang tidak ternilai, mereka berhak mendapat makanan terbaik.

Khasiat dan kebaikan susu ibu

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu tersedia bila-bila masa pada suhu badan dan sentiasa steril. Susu tepung akan masam selepas beberapa jam tetapi susu badan tidak pernah rosak walaupun bayi tidak menetek beberapa hari. Kebaikan susu ibu bukan sekadar menjadi penawar dan bertindak sebagai tembok menghalang penyakit malah ia mampu meningkatkan kecerdasan otak bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa.

Dan kajian dari Holland menunjukkan susu ibu mengandungi Asid Docosahexanoic dan Asid Arachidonic yang tidak diperolehi dalam susu tiruan berguna untuk pertumbuhan sistem tumpuan nervous.

Susu ibu menguntungkan wanita

Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.

Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.

Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.

Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.

Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.

Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.

Tanggapan banyak buah dada jatuh atau melendur kerana menyusu badan juga kurang tepat. Bentuk buah dada berubah semasa hamil dan mungkin mereka tidak bercoli, diikuti tarikan graviti ataupun usia semakin lanjut. Untuk itu pastikan ibu-ibu memakai coli sesuai sepanjang tempoh kehamilan dan sewaktu menyusui bayi

PANDUAN MENJAGA ALAT SULIT WANITA

Jangkitan Yang Berulang Boleh Merosakkan Sistem Peranakan

Dalam kehidupan seseorang wanita, penjagaan alat sulit atau alat kelamin amat penting kerana ia berkait rapat dengan pengeluaran darah haid, hubungan seks dan kehamilan.

Bahagian ini sensitif pada perubahan persekitaran terutamanya keasidan dan kealkalian (pH) kemaluan wanita. Perubahan ini samada disebabkan jangkitan kuman, penggunaan sabun atau faktor fizikal, persekitaran ataupun kebersihan diri. Seseorang wanita mungkin tidak selesa, gatal, mengeluarkan keputihan yang tidak normal atau berbau, bengkak alat kelamin dan kesakitan.

Menurut Dr. Siti Zaleha Ab. Rahim dari salah sebuah hospital swasta, wanita yang mempunyai tanda-tanda tersebut mudah dijangkiti kuman.

"Ia juga akan menjejaskan hubungan seks dan menimbulkan konflik antara suami dan isteri."

"Disamping itu, jangkitan kuman tertentu yang berulang boleh merosakkan sistem peranakan menyebabkan saluran fallopio tersumbat dan menjadikan seseorang itu sukar mendapat zuriat," katanya.

Ada beberapa langkah yang boleh dijadikan panduan untuk menjaga alat kelamin atau reproduktif wanita.

Langkah-langkah penjagaan alat kelamin yang disyorkan
:

* Membersihkan bahagian luar kemaluan selepas buang air kecil atau air besar, seelok-eloknya menggunakan air.
* Ketika haid, wanita dinasihatkan kerap menukar tuala wanita terutama pada hari-hari yang banyak darah keluar. Ini kerana darah adalah media yang sesuai untuk kuman membiak. Bagi wanita yang menggunakan tampon mereka perlu ingat untuk menukarnya.
* Elak daripada sering mengamalkan douching iatitu memasukkan jari atau pancutan ke dalam faraj dengan tujuan membersihkan bahagian dalam faraj. Perbuatan ini akan menyingkirkan sejenis bakteria lactobacilli dari faraj disamping mendedahkan faraj dan bahagian luar kemaluan kepada bahan kimia yang boleh mengakibatkan iritasi kulit.
* Elakkan menyabun atau menyapu shower gel pada alat kelamin kerana ia mungkin menyebabkan kekeringan dan iritasi kulit atau gatal. Sesetengah wanita sensitif dan alah pada pewangi dalam buih sabun.
* Pasangan suami isteri digalakkan membersih alat kelamin dengan air sebelum dan selepas hubungan seks untuk kebersihan yang optima.
* Amalkan membuang air kecil lebih kurang setengah jam selepas hubungan seks untuk mengurangkan risiko jangkitan kuman pada pundi kencing. Amalan ini berkesan untuk wanita yang sering mengalami jangkitan kuman pundi kencing (urinary tract infection).
* Elakkan memakai pakaian dalam sentetik yang terlalu ketat kerana ia menyebabkan kulit berpeluh, tiada peredaran udara pada kulit dan akhirnya menggalakkan kuman membiak.
* Pakaian dalam perlu ditukar setiap hari dan pada hari-hari mengalami keputihan, elok memakai panty liner supaya ia tidak melekat pada pakaian dalam yang menyebabkan ketidakselesaan.

Tambah Dr. Siti Zaleha lagi, jangkitan kuman sering berlaku sekiranya alat sulit tidak dijaga dengan sempurna. Ini termasuk kuman bakteria, virus, kulat dan protozoa yang dapat ditularkan melalui hubungan seks (sexually transmitted disease). Wanita dan pasangan perlu berjumpa doktor sakit puan untuk ujian pengesahan dan rawatan spesifik. "Paling kerap berlaku ialah jangkitan kuman atau fungus yang dipanggil candida. Ia dapat dirawat dengan memasukkan ubat antifungus ataupun ubat pil ke dalam faraj." Ujar beliau.

Kumpulan kuman lain yang sering menyerang wanita ialah bacterial vaginosis. Pesakit akan mengadu mengeluarkan lendir busuk (fishyodour discharge) dan kegatalan teruk. Ini dapat dirawat dengan antibiotik spesifik.

Katanya, wanita juga terdedah penyakit bengkak pada alat kelamin yang dipanggil bartholin cyst.

"Ia terjadi bermula dengan pembengkakan setempat pada bahagian bawah bibir kemaluan. Pada peringkat awal, pesakit mungkin tidak perasan kerana saiznya kecil. Cyst ini terbentuk akibat kelenjar Bartholin tersumbat dan bengkak yang sering terbentuk disebabkan jangkitan kuman bakteria.

"Ia dapat dikawal melalui pembedahan kecil pada cyst untuk mengeluarkan cecair yang terkumpul di dalam kelenjar tersebut. Sekiranya ia kerap berulang, dinasihatkan dibedah dan dikeluarkan," jelas Dr. Siti Zaleha lagi.

Bengkak nanah (abcess) dikaitkan dengan jangkitan kuman dan pesakit mengadu sakit serta demam. Rawatan adalah secara incisional dan drainage untuk mengeluarkan nanah dan pengambilan antibiotik.

Selain itu, bisul juga boleh terjadi pada wanita yang sering bercukur. Oleh itu, kebersihan pencukur perlu dititikberatkan.

Penyakit lain yangg turut dikaitkan dalam masalah ini ialah barah pada bahagian luar alat kelamin (vulva dan vagina). Namun ia jarang terjadi berbanding barah pangkal rahim, rahim atau ovari. Ia merangkumi hanya 5 peratus daripada semua jenis barah sistem produktif wanita.

"Penyakit ini sering berlaku pada wanita yang telah menopaus dengan purata umur 60 tahun. Pesakit akan mengalami kegatalan berterusan yang teruk diikuti ketumbuhan atau ulser yang kerap bermula pada bibir luar kemaluan. Rawatan ini merangkumi pembedahan besar dan radioterapi," katanya.

Ketika mengulas mengenai kaitan penjagaan alat sulit dengan masalah keputihan, Dr. Siti Zaleha berkata keputihan kerap berlaku pada wanita dan penting sekali mereka tahu membezakan antara keputihan biasa dan yang berpenyakit.

"Keputihan yang normal boleh berlaku pada keadaan berikut iaitu beberapa hari sebeluim tiba haid, ketika keghairahan seks, kehamilan dan klimakterik atau selepas menopaus.

"Begitu juga sebelum tiba haid dan ketika hamil atau belaku perubahan paras hormon yang meningkat. Semua ini menyebabkan banyak keputihan atau cecair jernih yang melekit keluar dari faraj," ujar Dr. Siti Zaleha.

Tanda-tanda keputihan yang berpenyakit termasuklah pertukaran warna dari jernih, putih ke kuning atau kehijauan atau berdarah. Sekiranya keputihan terlalu banyak, kadang-kadang ia keluar secara berketul-ketul kecil, gatal dan berbau. Tanda-tanda adalah seperti bengkak, pedih atau sakit pada alat kelamin. Sekiranya jangkitan merebak ke rahim atau sistem peranakan, wanita akan mengadu sakit pada bahagian bawah abdomen serta demam.

"namun begitu, seelok-eloknya wanita yang mengalami masalah keputihan dinasihatkan berjumpa doktor untuk mendapatkan pengesahan sama ada ia berpenyakit atau tidak, supaya rawatan dapat diberikan sebelum penyakit serius," tambah beliau.

Dr. Siti Zaleha juga menjelaskan, kebanyakan wanita tidak memerlukan produk atau ubat penjagaan alat kelamin sekiranya langkah-langkah yang disarankan tadi diikuti dengan bijak. Ubat hanya perlu diambil bagi merawat jangkitan kuman dan keputihan yang tidak normal.

""Ada segelintir wanita berasa selesa dan puas apabila mereka membersih dan merawat alat kelamin dengan produk yang berada di pasaran. Mereka dinasihatkan memikir bahan pencuci yang tidak alergik, yang tidak mengubah pH faraj dan telah diuji kebersihannya.

"Sekiranya selepas menggunakan produk tersebut dan timbul rasa pedih, gatal atau kemerahan, wanita itu dinasihatkan tidak menggunakannya lagi dan berjumpa dengan doktor," katanya lagi.

Sunday, February 21, 2010

Resipi perkahwinan bahagia

Dari Utusan Malaysia Online.

TERDAPAT banyak rahsia atau resipi untuk perkahwinan yang bahagia. Bagaimanapun di bawah dikongsikan tujuh saranan yang boleh diamalkan anda dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Cadangan ini memang ringkas dan boleh dibuat seberapa segera oleh mana-mana pasangan suami isteri.

1. Jika anda mahukan perkahwinan yang telah dibina bertahun-tahun kekal segar-bugar seperti hari pertama berkahwin, anda perlulah berusaha untuknya. Caranya ialah dengan meletakkan perkahwinan itu pada tempat utama. Berikan perhatian padanya dan selalu memperuntukkan masa untuk setiap perkara yang berkaitan rumah tangga. Tidak kiralah apa yang anda selalu katakan tentang rumah tangga anda yang penting sekali ialah bagaimana cara anda menanganinya.

Tip: Buat penilaian sejauh mana anda telah memberi komitmen terhadap perkahwinan anda. Adakah anda telah meluangkan masa dan tenaga yang sepatutnya demi keharmonian rumah tangga anda?

2. Fokuskan tentang perkara yang disukai tentang pasangan anda dan abaikan apa jua perkara yang tidak berkenan tentang dia. Jika berjaya melakukan ini maka anda telah mengelakkan banyak perkara negatif yang mungkin berlaku seperti adanya hubungan sulit, perselisihan faham antara suami isteri dan yang paling penting dapat mengelakkan penceraian. Jadi fokuskan yang positif dan buang tanggapan negatif jauh-jauh.

Tip: Jangan asyik mengkritik dan mencari kelemahan pasangan. Walaupun perkara tersebut terdetik jangan biarkan ia bersarang di hati. Bila anda mula memikirkan perkara baik tentang pasangan, ia sekali gus merangsang rumah tangga menjadi lebih bahagia.

3. Sifat baik hati amat penting dalam sesebuah rumah tangga. Maka, jadilah seorang yang baik. Menerusi kajian yang dilakukan kebanyakan suami atau isteri akan lebih melayan orang luar berbanding layanan terhadap ahli keluarga sendiri. Jika anda diberi pilihan untuk menjadi 'yang benar' atau 'yang baik' maka pilihlah untuk menjadi yang baik. Itu memang satu nasihat yang bagus.

Tip: Dalam minggu ini cuba buat sesuatu yang menggembirakan hati pasangan anda. Buat kejutan seperti belikan hadiah atau menyediakan makan malam istimewa. Pastikan hati anda ikhlas ketika melakukannya dan jangan pula harapkan balasan.

4. Bila pasangan membantu anda dalam sesuatu perkara walaupun nilainya tidak seberapa, berilah dia penghargaan. Cukup sekadar mengucapkan terima kasih atas bantuan tersebut yang telah meringankan beban anda. Jadikan sikap itu satu amalan dan jika ia sudah sebati dengan diri anda pasti rumah tangga akan dipenuhi keceriaan dan kegembiraan.

Tip: Lihat balik betapa pasangan anda itu bermakna dalam hidup anda. Cuba renung sesekali ke dalam mata mereka dan senyum. Anda boleh bermula dengan ayat-ayat penghargaan yang amat ringkas seperti 'saya suka senyuman awak' atau 'terima kasih atas hidangan makan malam yang lazat malam tadi.'

5. Jika anda berhajat tentang sesuatu perkara jangan pendam dalam hati dan harapkan pasangan anda dapat 'membaca' isi hati anda. Jika perkara dimahukan tidak terjadi tentu anda berang, beritahu pasangan apa yang anda mahukan dengan cara berhemah dan jelas, Komunikasi yang baik memudahkan hubungan anda berjalan lancar. Jadi bercakaplah dan jangan harap pasangan anda boleh menjadi 'ahli nujum' pula.

Tip: Selalunya anda harapkan pasangan anda memahami apa hajat anda tanpa perlu mengatakannya? Tidak kira lelaki atau wanita masing-masing mengharapkan pasangan berlaku romantis dan mengidamkan masa berdua-duaan. Tidak kurang juga yang mengharapkan pasangan membantu dalam urusan kerja rumah. Senang saja, cakaplah pada pasangan apa yang anda mahukan.

6. Buang sifat suka menghukum atau mempertahankan diri secara perlahan-lahan. Lapangkan hati menerima pendapat pasangan anda dan itu tidak bermakna anda tidak mempunyai pendirian sendiri. Tidak bermakna juga jika anda tidak menyangkal maka anda salah sebab dalam hubungan suami isteri ini memang perlu selalu bertolak ansur terutama untuk mengekalkan kasih sayang antara satu sama lain. Tidak rugi mengalah kerana dialah insan yang anda mahukan berada di sisi anda seumur hidup bukan?

Tip: Pilih satu sifat pasangan anda yang selalu membuatkan anda marah. Bila anda dan pasangan berdebat tentang perkara tersebut cuba dengar sahaja dan jangan berfikir tentangnya walaupun dalam hati. Cuba tengok apa hasilnya?

7. Buka hati anda seikhlas-ikhlasnya untuk pasangan anda. Kebanyakan daripada kita yang telah bertahun-tahun berumah tangga masih membatasi kasih sayang sepenuhnya buat pasangan. Jika anda mahukan rumah tangga yang harmoni dan sentiasa bersemarak bahagia, cubalah ambil risiko tersebut dan jangan fikirkan tentang perkara negatif.

Tip: Buangkan sifat buruk sangka. Memang konflik sesekali akan tercetus tapi jika anda pandai mengawal diri dan yakin pasangan anda juga patut diberi peluang maka runtuhkanlah tembok keegoaan itu. Pasti rumah tangga anda akan kekal harmoni hingga ke akhir hayat.

Iklan ‘ubat kuat’ makin menjadi-jadi

Oleh Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my
2010/02/19

ALOR GAJAH: Lambakan pelbagai jenis poster ‘ubat kuat’ untuk lelaki di taman perumahan di sekitar bandar ini menimbulkan persoalan kerana dibimbangi boleh mempengaruhi pengguna, sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko menggunakan ubat haram.
Tinjauan Metroplus mendapati pihak tertentu begitu berani mengiklankan produk ubat kuat melalui poster dan mengedar risalah secara terang-terangan dari rumah ke rumah.


Antara lokasi sasaran ditampal poster terbabit termasuk pada tiang elektrik, papan tanda jalan, telefon awam dan tembok di taman perumahan iaitu di Taman Rembia Perkasa, Taman Rembia, Kampung Rembia, Taman Pelangi dan Taman Awan Biru. Poster dan risalah itu jelas mendakwa kandungan ubat kuat itu dihasilkan daripada pati tumbuhan herba asli dan tidak memberi kesan sampingan kesihatan serta mempunyai sijil Kementerian Kesihatan.


Seorang penduduk, Mohd Iskandar Abu Hassan, 20, meragui kesahihan maklumat pada poster dan risalah mengenai ubat kuat itu.


Dia mempersoalkan jika benar produk kesihatan itu diluluskan, mengapa mereka tidak menjualnya kepada orang awam di farmasi atau klinik.


“Apa yang menjadi persoalan, ada segelintir orang mempercayai khasiat dan keberkesanan produk ubat kuat itu. “Sepatutnya mereka membuat semakan dengan pihak berkenaan untuk memastikan kesahihan produk diiklankan itu bagi mengelak tersalah membeli,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Rizuan Rahmat, 24, berkata pengguna perlu bijak dalam membuat pilihan membeli ubat-ubatan dan produk kesihatan memandangkan sudah banyak laporan mengenai kesan termasuk ada pengguna yang maut menggunakannya.


“Orang ramai tidak seharusnya mudah terpedaya dengan pelbagai janji manis pada iklan bagi melariskan produk seperti berkesan dalam masa yang singkat kerana ia jelas menipu pengguna,” katanya.


Metroplus cuba berkali-kali menghubungi nombor telefon pada poster ubat kuat itu, namun tiada jawapan sebelum menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan mengenai pelbagai jenis ubat yang dijual.


Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Nordin Ali ketika dihubungi menegaskan majlis tidak berkompromi dengan pihak yang mengiklankan ubat kuat haram dan akan mengambil tindakan tegas.


“Ini (poster ubat kuat lelaki ) sama macam poster along yang menawarkan pinjaman tidak berlesen. “Jadi saya akan arahkan anggota MPAG mengambil tindakan membersihkan semua poster ini.


“Saya juga meminta orang ramai yang melihat kegiatan pihak terbabit (memasang poster) untuk melaporkan kepada MPAG untuk tindakan.


“Kita juga akan cuba mengesan pihak terbabit melalui nombor telefon pada poster itu dan tindakan kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan berdasarkan peruntukan Undang-Undang Kecil Iklan (MPAG) 1999,” katanya.

Minta Izin Suami Untuk Ke Masjid


Hadith :

Musaddad menyampaikan kepada kami (katanya), daripada Yazid bin Zari’, daripada Ma’mar, daripada az-Zuhri, daripada Salim bin Abdullah, daripada bapanya, daripada nabi s.a.w bersabda baginda:”Apabila isteri seorang kamu meminta izin (ke masjid) maka janganlah ia menegahnya.” (Bukhari)

Huraian:

Wanita tidak diwajibkan bersolat jamaah di masjid. Sebaliknya wanita dianjurkan untuk solat di rumahnya kerana fadlilat (keutamaannya) lebih besar dibandingkan dengan solat berjamaah di masjid dengan alasan ianya lebih tertutup dan lebih aman daripada fitnah (kesempurnaan hijab).

Jika kaum wanita mengetahui yang demikian (pastilah mereka tidak meminta untuk keluar ke masjid) kerana berkeyakinan bahawa pahalanya lebih banyak daripada solat di rumahnya.

Namun begitu tidak dinafikan juga bahawa para wanita diharuskan solat berjamaah di masjid.

Bahkan harus bagi wali atau suami untuk tidak melarang mereka jika hendak solat berjemaah di masjid kerana Rasulullah s.a.w tidak mencegah sama sekali para wanita untuk solat berjamaah di masjid bersama baginda sampai masa kewafatannya.

Demikian pula para khulafa’ ar-Rasyidin. Namun perlu diingat bahawa keizinan itu hendaklah bergantung kepada syarat-syaratnya seperti tidak memakai wangi-wangian, tidak bertabarruj, tidak memakai gelang kaki yang dapat didengari bunyinya, tidak memakai baju yang menarik pandangan orang,tidak bercampur dengan kaum lelaki sehingga boleh menimbulkan fitnah dan tidak terdapat sesuatu yang dapat menimbulkan kesesakan di jalan yang akan dilewati.

Oleh itu bagi wanita yang mahu mengerjakan solat berjamaah di masjid wajib mematuhi syarat-syarat tersebut kerana semua perkara yang disebutkan tadi mengandungi unsur penggerak dan pengundang syahwat kaum lelaki jika tidak dipatuhi.

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Menjawab Dakwaan Orientalis Barat

Bilangan isteri Nabi Muhammad s.a.w seramai dua belas orang telah mengundang kontroversi sesetengah pihak seperti orientalis Barat yang mengatakan Baginda mempunyai isteri yang ramai kerana nafsu seks yang terlalu kuat.

Daripada 12 orang isteri itu hanya 1 orang sahaja anak dara yang dikahwininya iaitu Aisyah r.a. Selain itu kekuatan fizikal seorang Nabi bersamaan adalah kekuatan 40 lelaki. Seorang lelaki biasa dibenarkan berkahwin sehingga 4 orang perempuan, jadi secara logiknya jika Baginda mempunyai 40 kekuatan maka Baginda boleh berkahwin sehingga 160 orang (40 darab 4). Tetapi Baginda hanya berkahwin seramai 12 orang sahaja. Ketika kewafatan Baginda, hanya 9 orang isteri sahaja yang tinggal.

Siti Khadijah r.a. wanita pertama yang dikahwini Baginda adalah seorang janda. Manakala Saudah r.a. pula adalah seorang perempuan yang sudah berusia. Rasulullah s.a.w. telah mengahwini Saudah r.anha setelah kematian Khadijah r.anha. Saudah r.a. berumur 52 tahun ketika Rasulullah s.a.w. mengahwininya.

Pada suatu ketika Saudah bimbang Rasulullah s.a.w. menceraikannya, lalu beliau berkata: "Wahai Rasulullah, tidaklah saya termasuk di kalangan isteri isteri tuan di dalam Syurga nanti. Oleh sebab itu, janganlah ceraikan saya. Saya serahkan giliran saya pada 'Aisyah r.anha." Rasulullah s.a.w. telah menerima permintaan itu. Oleh sebab itu, hari giliran beliau telah diberikan kepada 'Aisyah r.anha.

Walaupun Rasulullah s.a.w. tidak diwajibkan membuat giliran ke atas isteri-isterinya, Baginda tetap membuat giliran sebagai contoh supaya diikuti oleh umatnya. Umat Nabi Muhammad s.a.w. yang berpoligami wajib menyempurnakan giliran iaitu giliran bermalam di rumah isteri-isteri mereka (tidak semestinya melakukan hubungan seks).

Ummu Salamah juga adalah seorang janda yang dikahwini Rasulullah s.a.w.

Ummu Salamah berkata, “Saya mendengan Rasulullah bersabda, ‘tidak ada seorang muslimpun yang ditimpa suatu musibah lalu mengucapkan apa yang diperintahkan oleh Allah, اِنَّا لِلَّهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ, اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي فِي مُصِيْبَتِي وَاخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا. yang artinya, ‘Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada-Nyalah kita kembali, ya Allah berikanlah kepadaku atas musibah ini dan gantikanlah dengan yang lebih baik darinya’, kecuali Allah akan menggantikannya yang lebih baik darinya’. Maka ketika Abu Salamah (suamiku) wafat, aku bergumam, siapa di kalangan kaum muslimin yang lebih baik dari Abu Salamah, sebuah keluarga yang pertama kali berhijrah kepada Rasulullah ? Tetapi aku lalu mengucapkan do’a tersebut. Allah pun menggantikanku dengan Rasulullah . (HR. Muslim)

Begiyu juga perkahwinan Baginda dengan Zainab r.a. setelah diceraikan oleh anak angkat Baginda iaitu Zaid r.a.

Al-Ahzab [37] Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang telah dikurniakan oleh Allah (dengan nikmat Islam) dan yang engkau juga telah berbuat baik kepadanya: Jangan ceraikan isterimu itu dan bertakwalah kepada Allah, sambil engkau menyembunyikan dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya; dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti (melanggar perintahNya). Kemudian setelah Zaid selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (dengan menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka, apabila anak-anak angkat itu telah selesai habis kemahuannya terhadap isterinya (lalu menceraikannya) dan sememangnya perkara yang dikehendaki Allah itu tetap berlaku.